Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Institusi kewangan sedia sokong permohonan AirAsia biaya RM1 bilion

AirAsia Group Bhd, yang merancang mengekalkan mudah tunai untuk memastikan aliran tunai mencukupi, menerima petanda sokongan daripada institusi kewangan tertentu berhubung permohonannya bagi pembiayaan bernilai lebih RM1 bilion (S$32 juta).

Anggaran Waktu Membaca:
Institusi kewangan sedia sokong permohonan AirAsia biaya RM1 bilion
Diterbitkan : 09 Jul 2020 06:51PM Dikemas Kini : 09 Jul 2020 07:01PM

KUALA LUMPUR: AirAsia Group Bhd, yang merancang mengekalkan mudah tunai untuk memastikan aliran tunai mencukupi, menerima petanda sokongan daripada institusi kewangan tertentu berhubung permohonannya bagi pembiayaan bernilai lebih RM1 bilion (S$32 juta).

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tony Fernandes, berkata cadangan mengenai pelbagai bentuk pengumpulan modal, sama ada hutang atau ekuiti, sudahpun dikemukakan kepada syarikat penerbangan itu.

“Kami sedang berbincang dengan pelbagai pihak, termasuk bank pelaburan, pemberi pinjaman serta pelabur yang berminat bagi mendapatkan hasil positif untuk syarikat,” katanya dalam kenyataan hari ini (9 Jul).

Beliau berkata daripada pembiayaan hutang RM1 bilion itu, bahagian tertentu akan layak untuk mendapat pinjaman jaminan kerajaan di bawah Skim Jaminan PRIHATIN Danajamin di Malaysia.

Usaha mendapatkan pinjaman bank masing-masing oleh entiti Filipina dan Indonesia pula kini berada di pelbagai peringkat permohonan, kata beliau.

Di Filipina, AirAsia memohon pinjaman jaminan kerajaan di bawah Akta Rangsangan Ekonomi Filipina (PESA) dan hasil positif adalah dijangkakan.

Mengulas mengenai pengurusan modal, Fernandes berkata secara dalaman, syarikat itu melaksanakan rasionalisasi berasaskan kiraan kepala untuk menjadikan operasi lebih kemas dan cekap susulan permintaan semasa terhadap perjalanan udara serta jangkaan pemulihan.

AirAsia sudahpun melaksanakan langkah pengurangan kos dalaman termasuk pemotongan gaji sementara sebanyak 15 peratus hingga 75 peratus bagi seluruh kumpulan, katanya.

“Kami memperoleh penangguhan daripada pemberi pajak yang menyokong kami dan kini berusaha untuk mendapatkan lanjutan seterusnya. Kami juga menstrukturkan semula 70 peratus kontrak lindung nilai bahan api kami di samping terus berunding dengan rakan kerjasama bagi baki pendedahan.

“Keseluruhannya, kami menjangkakan perbelanjaan tunai akan susut sekurang-kurangnya 50 peratus pada 2020,” katanya.

Beliau berkata walaupun separuh pertama 2020 amat mencabar, namun negara-negara di seluruh dunia sudahpun menyambung semula operasi penerbangan domestik dalam beberapa minggu ini dan membuka semula sempadan antarabangsa secara beransur-ansur.

Justeru, pewujudan dan perbincangan mengenai ‘gelembung perjalanan’ dan ‘laluan hijau’ bersama dengan rakan ekonomi penting yang mencatatkan kadar jangkitan COVID-19 yang rendah serta sistem menangani pandemik yang terbukti berhasil, merupakan satu langkah dalam hala tuju yang tepat.

AirAsia juga telah menyambung semula operasi domestik pada pasaran seperti Malaysia, Thailand, Indonesia, India dan Filipina secara berperingkat namun kukuh sejak penghujung Mei.

“Pada 7 Julai, kami mencatatkan jualan pasca perintah kawalan pergerakan (PKP) tertinggi dengan 75,000 tempat duduk terjual dalam tempoh sehari, menunjukkan permintaan kukuh luar biasa dan petanda pertumbuhan ekonomi.

“Kami juga menjual lebih 200,000 Pas Tanpa Had AirAsia sejak ia dlancarkan baru-baru ini bagi perjalanan domestik Malaysia, Thailand dan AirAsia X.

"Aliran positif tempahan penerbangan dan faktor muatan kami juga adalah isyarat tambahan bagi separuh kedua yang lebih baik," katanya.

Pada Jun, faktor muatan keseluruhan kumpulan adalah 60 peratus, dengan faktor muatan AirAsia Malaysia mencapai 65 peratus, dan menjangkakan faktor muatan mencecah 70 peratus pada Julai.

Sumber : Bernama/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan