Images

Insentif Pertumbuhan Pekerjaan dilanjutkan; 400,000 penduduk setempat dapat kerja setakat ini

SINGAPURA: Skim Insentif Pertumbuhan Pekerjaan (JGI), yang bertujuan mendorong syarikat untuk mengambil lebih banyak tenaga kerja setempat, akan dilanjutkan selama enam bulan hingga Mac 2022, umum Kementerian Tenaga Manusia pada Jumaat (24 Sep).

Ini adalah untuk "memastikan pemulihan di tengah-tengah pasaran tenaga kerja yang semakin baik", menurut MOM dalam satu kenyataan media.

Namun tahap sokongan akan dikurangkan secara berperingkat "seiring dengan keadaan yang semakin pulih", kata Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng pada Jumaat.

JGI dilancarkan sekitar setahun yang lalu, menawarkan subsidi sehingga 25 peratus bagi S$5,000 pertama gaji seorang pekerja yang layak sehingga 12 bulan.

Untuk layak, syarikat harus menambah keseluruhan tenaga kerja warga Singapura dan penduduk setempat yang mendapat gaji sekurang-kurangnya S$1,400.

Semasa Belanjawan 2021, skim tersebut dilanjutkan hingga September tahun ini dan jumlah subsidi ditambah bagi pekerja matang, mereka yang kurang upaya dan bekas pesalah.

Ia kini akan dilanjutkan selama enam bulan lagi hingga Mac 2022, namun tahap sokongan gaji akan dikurangkan.

Syarikat yang mengambil pekerja bawah usia 40 tahun, akan menerima subsidi 15 peratus untuk S$5,000 pertama gaji pekerja sehingga enam bulan. Jumlah insentif keseluruhan dihadkan kepada S$4,500 bagi setiap pekerja.

Bagi pekerja berusia 40 tahun ke atas, mereka yang kurang upaya atau bekas pesalah, skim tersebut akan menanggung separuh daripada S$6,000 pertama pendapatan bulanan mereka sehingga 12 bulan. Jumlah keseluruhan insentif dihadkan kepada S$36,000 bagi setiap pekerja.

Dr Tan menekankan bahawa JGI adalah "suatu langkah luar biasa, dan bukan skim tetap".

"Saya menggalakkan majikan yang mempunyai rancangan untuk mengembangkan perniagaan mereka agar mempercepat pengambilan pekerja mereka dan lakukannya dalam tempoh kelayakan yang dilanjutkan," katanya selepas lawatan ke Alcon, sebuah pengeluar produk penjagaan mata.

HAMPIR 400,000 DIAMBIL KERJA DI BAWAH JGI

Sejak September 2020 hingga Mei tahun ini, hampir 400,000 penduduk tempatan diambil bekerja oleh 58,000 perniagaan yang disokong JGI, dedah MOM.

Hampir kesemua (99 peratus) perniagaan itu merupakan syarikat kecil dan sederhana, SME. Kira-kira separuh perniagaan tersebut mengambil satu hingga dua pekerja tempatan, sementara yang lain menggajikan lebih ramai lagi, kata MOM.

Perniagaan-perniagaan itu datang dari pelbagai sektor termasuk perdagangan borong, perkhidmatan profesional, penerangan & perhubungan, perkhidmatan makanan dan runcit.

Separuh daripada 400,000 pekerja yang disokong JGI tidak mempunyai pekerjaan ketika diambil bekerja, dengan kira-kira sepertiga sudah menganggur lebih enam bulan, tambah MOM. Sekitar enam daripada setiap 10 orang bekerja di sektor yang berbeza sebelum itu.

Hampir separuh adalah pekerja matang berusia 40 tahun dan ke atas, dan sepertiga berumur 50 tahun dan ke atas. Enam daripada setiap 10 memperoleh gaji yang sama atau lebih tinggi berbanding pekerjaan mereka sebelumnya.


- CNA/TQ/tq

Top