Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Inisiatif baru Enterprise Singapore bantu SME tembusi pasaran e-dagang

Syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME), yang mempunyai sedikit atau tiada pengalaman e-dagang, boleh mula menjual secara online melalui sokongan yang disediakan inisiatif terbaru Enterprise Singapore.

Anggaran Waktu Membaca:
Inisiatif baru Enterprise Singapore bantu SME tembusi pasaran e-dagang

(Gambar fail: TODAYonline)

Diterbitkan : 02 Apr 2020 01:47PM Dikemas Kini : 02 Apr 2020 01:55PM

SINGAPURA: Syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME), yang mempunyai sedikit atau tiada pengalaman e-dagang, boleh mula menjual secara online melalui sokongan yang disediakan inisiatif terbaru Enterprise Singapore.

Pakej 'E-Commerce Booster' menyediakan sokongan kos dan tenaga kerja, jelas Enterprise Singapore dalam satu kenyataan pada Khamis (2 Apr).

"Ini bertujuan membantu para peruncit mengubah model perniagaan mereka, serta mempelbagaikan saluran jualan dan aliran pendapatan mereka menjangkaui kedai fizikal. Ini amat relevan dalam situasi semasa COVID-19," menurut agensi itu.

"Memiliki strategi e-dagang yang mantap juga akan membolehkan peruncit untuk lebih berdaya saing dalam jangka masa panjang."

Pakej tersebut memberi sokongan kepada para peruncit untuk pasaran domestik dan luar negara.

Bagi pasaran tempatan, peruncit akan menerima bantuan daripada empat pengendali platform e-dagang - Amazon, Lazada Singapore, Qoo10 dan Shopee. Penjual boleh memohon dengan hanya satu rakan platform yang mana ia tidak mempunyai akaun dengan platform tersebut buat masa ini.

Para peruncit akan menerima sokongan 90 peratus sekali saja bagi kos kelayakan untuk yuran yang dikenakan, dihadkan kepada S$9,000. Penyedia platform akan bekerjasama dengan penjual untuk memilih dan menyenaraikan produk sehingga enam bulan, menyertai kempen promosi, memenuhi pesanan dan melakukan analitik data asas bagi penjualan.

Penjual yang ingin menembusi pasaran luar negara boleh menggunakan Program Platform E-Dagang Berbilang Saluran (MEP) oleh Enterprise Singapore.

Sokongan sekali saja bernilai 70 peratus kos kelayakan kini ditingkatkan kepada 90 peratus sehingga 30 Sep, 2020, dan para peruncit akan menerima bantuan dari penyedia huraian untuk menyenaraikan dan menjual produk di berbilang wadah penjualan online di luar negara.

Melalui perkongsian ini, para peruncit boleh memanfaatk saiz pasaran yang munasabah, kata timbalan ketua pegawai eksekutif Enterprise Singapore Encik Ted Tan.

"Kerjasama kami dengan platform e-dagang yang mantap di Singapura dan di luar negara memastikan saiz pasaran yang munasabah untuk dimanfaatkan peruncit-peruncit ini," katanya.

"Kami mahu memperkasa semua peruncit untuk membangunkan strategi e-dagang jangka panjang dan mampan yang akan memastikan daya tahan perniagaan selepas COVID-19."

Dari segi tenaga kerja, Enterprise Singapore akan menyokong 90 peratus daripada kos kelayakan bagi tenaga kerja selama tiga bulan.

Peruncit-peruncit yang ingin mendaftar untuk pakej tersebut boleh melakukannya secara langsung menerusi platform e-dagang dan penyedia huraian masing-masing dari sekarang hingga 30 Sep.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan