Images
  • sme digital
    Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran (tengah) lancarkan tiga inisiatif hari ini (9 Jan) bagi percepatkan proses pendigitalan syarikat tempatan. (Gambar: BERITAmediacorp)

Inisiatif baru dilancarkan bagi mudahkan SME dapatkan huraian digital

SINGAPURA: Satu inisiatif baru dilancarkan bagi memudahkan syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) yang baru mendapatkan huraian digital bagi memperbaiki fungsi utama perniagaan mereka.

Dipanggil Start Digital, sebahagian kos pendigitalan tersebut dibiayai pemerintah selama enam bulan.

Inisiatif itu dilancarkan Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran hari ini (9 Jan) sebagai sebahagian usaha untuk memudahkan peniaga menembusi ekonomi digital.

Lantaran itu, lebih mudah bagi SME untuk mendapatkan bantuan ke arah pendigitalan dalam bidang-bidang seperti pengurusan sumber manusia, perakaunan, pemasaran digital, urus niaga digital dan keselamatan siber.

SME BARU BOLEH DAPATKAN HURAIAN DIGITAL SECARA PERCUMA

Di bawah inisiatif baru itu, syarikat-syarikat boleh memilih untuk mendapatkan dua huraian digital daripada senarai tersebut secara percuma selama enam bulan bagi tempoh komitmen 18 bulan.

Menurut Encik Iswaran, dengan SME membentuk sebahagian besar perniagaan di sini, sejauh mana dan betapa pesat sektor itu mendakap pendigitalan akan mempunyai kesan besar terhadap perkembangan ekonomi digital.

"Matlamat pendigitalan adalah untuk meningkatkan produk, khidmat dan proses kita supaya dapat memberikan khidmat yang lebih baik kepada para pelanggan. Bagi memastikan pendigitalan berjaya, ia harus berasaskan kepercayaan dan keyakinan antara perniagaan dan antara perniagaan dengan pengguna," ujar beliau.

Inisiatif baru yang dikendalikan Penguasa Pembangunan Media Infokom (IMDA) dan Enterprise Singapore (ESG) itu, menurut Encik Iswaran juga menawarkan huraian yang termampu dan bermutu tinggi.

Syarikat Eatz19 menjadi antara syarikat perintis inisiatif itu, dan kini menikmati penjualan tambahan 20%.

"Sebelum memasuki platform digital di restoran kami, prosesnya agak rumit sedikit sebab kami harus melayan pelanggan 'walk-in', tempahan dan penghantaran online tetapi selepas kami mengambil langkah untuk menggunakan platform digital, semua pelanggan yang 'walk-in', online dan tempahan disepadukan dalam satu 'dashboard'. Ini memudahkan proses operasi kami dan meningkatkan produktiviti dan kurangkan kos restoran," kata pemilik Eatz19 Cik Shakila Sham.

2 LAGI INISIATIF TURUT DILANCARKAN

Di majlis yang sama, Encik Iswaran secara rasmi melancarkan dua lagi inisiatif yang dirintis tahun lalu iaitu Pensijilan Tanda Dagangan Perlindungan Data (DP) dan Rangkaian Invois Elektronik Negara.

Sejak tahap perintis program itu tamat September lalu, 40 pertubuhan membuat pendaftaran dengan enam sudah menerima sijil DP mereka.

Ahli Lembaga Pengarah Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura Encik Izzat Ismail berkata: "Tiga inisiatif yang telah diumumkan pada hari ini, saya rasa sungguh relevan sekali, di mana para usahawan di Singapura dapat memupuk atau mengalihkan pemikiran mereka ke arah digital ekonomi dan mereka akan dapat lebih relevan dalam dunia ekonomi digital dan mereka dapat bersaing di peringkat antarabangsa."

Secara keseluruhan, pendanaan lebih $30 juta disediakan bagi ketiga-tiga inisiatif ini agar dapat mempercepatkan proses pendigitalan SME dan syarikat-syarikat besar dan mapan dalam tempoh tiga tahun akan datang.  

- BERITAmediacorp/ru

Top