Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Ingin mula atau kembangkan perniagaan? Pendaftaran Program Niaga Mikro AMP kini dibuka

Pendaftaran pagi Program Niaga Mikro AMP yang ke-17 kini dibuka sehingga 17 September, umum pertubuhan itu dalam kenyataan medianya pada Rabu (25 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Ingin mula atau kembangkan perniagaan? Pendaftaran Program Niaga Mikro AMP kini dibuka

Gambar fail.

Diterbitkan : 25 Aug 2021 10:32PM Dikemas Kini : 25 Aug 2021 10:35PM

SINGAPURA: Pendaftaran pagi Program Niaga Mikro AMP yang ke-17 kini dibuka sehingga 17 September, umum pertubuhan itu dalam kenyataan medianya pada Rabu (25 Ogos).

Sepanjang 16 tahun lalu, sebanyak 600 perniagaan dari rumah (HBB) berjaya meningkatkan bisnesnya melalui program tersebut.

Dalam kenyataan medianya semalam, AMP menyatakan sejak program tersebut dimulakan pada 2015, ia sudah menyaksikan para peserta mengembangkan perniagaan mereka dari rumah ke kedai fizikal seperti gerai di kantin sekolah, gerai penjaja, gerai makanan, dapur pusat serta studio membuat kek dan biskut.

Program khusus buat golongan kurang berkemampuan itu bertujuan memperkasa mereka dengan kemahiran perniagaan dan perdagangan yang boleh dijadikan sebagai sandaran untuk memperolehi sumber pendapatan alternatif.

Sepanjang enam bulan, peserta mengikuti latihan dalam bidang pilihan mereka - meliputi perkhidmatan spa dan kecantikan, perniagaan makanan, jahitan dan aksesori serta kraf perkahwinan.

Di samping itu, mereka juga perlu mempelajari tentang teknologi infokom dengan menghadiri latihan kemahiran perniagaan dan IT. Berbekalkan pengetahuan yang ditimba itu, peserta dapat menubuhkan, merancang dan memasarkan perniagaan mereka terutama di media sosial selain mengurus lebih baik aliran kewangan perniagaan.

Menurut AMP, latihan kemahiran perdagangan dijalankan oleh para pelatih berbeza sementara modul perniagaan dan IT pula dikendalikan oleh para pelatih dari Pusat SME@DPPMS.

Pertubuhan itu menambah modul-modul yang ditawarkan di bawah Program Niaga Mikro sejauh ini sudahpun dikemas kini beberapa kali demi memastikan ia kekal relevan dengan keperluan pasaran.

Di akhir program itu, para peserta digalakkan untuk menyediakan pelan perniagaan mereka untuk dinilai oleh AMP. Perniagaan yang menunjukkan potensi untuk berkembang dan bertahan pada jangka panjang akan menerima Geran Kapital AMP sebanyak $1,000.

Sekiranya peserta ingin mendapat akses kepada kelas khas perniagaan (business masterclasses) yang ditawarkan menerusi kerjasama antara AMP dengan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), mereka boleh memilih untuk meneruskan latihan di bawah Program Niaga Mikro Lanjutan.

Peserta yang selesai menjalani Program Niaga Mikro juga boleh memohon pinjaman daripada Dana Pembangunan Niaga Mikro, iaitu pinjaman tanpa faedah, jika mereka memerlukan suntikan dana untuk memperluaskan perniagaan mereka.

Bukan itu sahaja, Anugerah Usahawan Berpotensi AMP berjumlah S$1,500 juga akan diberikan kepada para peserta yang berjaya mengekalkan perniagaan yang dibuka serta menunjukkan potensi untuk mengembangkannya. Untuk layak bagi anugerah itu, perniagaan peserta juga harus mencatat keuntungan sebanyak S$1,000 sebulan selama tempoh setahun.

Program itu dibuka kepada rakyat atau penduduk tetap Singapura yang mempunyai pendapatan isi rumah tidak melebihi S$4,000 atau pendapatan per kapita bawah S$1,000.

Pendaftar juga harus mempunyai kemahiran asas dalam penggunaan komputer dan kemahiran asas atau pengalaman dalam bidang tumpuan yang dipilih.

Anda yang berminat untuk mengikuti program ini boleh mendaftar melalui pautan ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan