Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Inflasi teras S'pura pada Ogos kekal pada paras terendah dalam 3 tahun

Inflasi teras Singapura tumbuh pada kadar 0.8 peratus pada Ogos berbanding setahun lalu, tidak berubah berbanding bulan sebelumnya, apabila ia tumbuh pada kadar paling perlahan dalam lebih tiga tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Inflasi teras S'pura pada Ogos kekal pada paras terendah dalam 3 tahun

(Gambar hiasan: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 23 Sep 2019 03:01PM Dikemas Kini : 23 Sep 2019 03:05PM

SINGAPURA: Inflasi teras Singapura tumbuh pada kadar 0.8 peratus pada Ogos berbanding setahun lalu, tidak berubah berbanding bulan sebelumnya, apabila ia tumbuh pada kadar paling perlahan dalam lebih tiga tahun.

Ini disebabkan kemerosotan lebih besar kos barangan runcit, elektrik dan gas yang diimbangi kadar inflasi lebih tinggi bagi makanan dan perkhidmatan, menurut data yang dikeluarkan pada Isnin (23 Sep).

Inflasi teras tidak merangkumi kos pengangkutan privet dan penginapan.

Indeks Harga Pengguna Umum atau inflasi keseluruhan dari tahun ke tahun naik 0.5 peratus pada Ogos, berbanding 0.4 peratus pada Julai.

Menurut kenyataan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), ini terutamanya disebabkan inflasi lebih tinggi kos pengangkutan darat privet dan kemerosotan kos penginapan yang lebih kecil.

Kadar inflasi makanan naik 1.6 dari tahun ke tahun pada Ogos, berbanding 1.4 peratus pada Julai. Ini akibat peningkatan kos lebih besar bagi makanan belum dimasak serta inflasi lebih tinggi bagi khidmat makanan.

Kos barangan runcit susut 1.5 peratus dari tahun ke tahun pada Ogos, berbanding kemerosotan 1.0 peratus pada Julai.

Inflasi perkhidmatan naik 1.7 peratus dari tahun ke tahun pada Ogos berbanding 1.6 peratus pada Julai. Ini disebabkan oleh yuran khidmat telekomunikasi yang lebih tinggi dan peningkatan lebih besar tambang penerbangan, yang mengatasi inflasi perbelanjaan percutian serta yuran khidmat riadah dan kebudayaan yang tumbuh lebih perlahan.

Kos kenderaan darat privet meningkat 0.6 peratus dari tahun ke tahun pada Ogos, pada kadar lebih pantas sedikit berbanding 0.3 peratus yang dicatat pada Julai.

Kos penginapan pula merosot 0.7 peratus dari tahun ke tahun pada Ogos, berbanding kemerosotan 0.9 peratus pada Julai ekoran harga sewa rumah yang merosot pada kadar lebih perlahan.

"Bagi baki tahun 2019, sumber luar inflasi dijangka tidak membawa kesan buruk," menurut MAS dan MTI.

"Meskipun terdapat ketidaktentuan baru-baru ini, harga minyak global purata bagi keseluruhan tahun masih dijangka lebih rendah berbanding tahun lalu. Di dalam negeri, keadaan pasaran buruh rata-rata bertahan, menyumbang kepada peningkatan gaji yang sederhana dan kos unit buruh lebih tinggi."

MAS dan MTI menambah inflasi teras Singapura pada 2019 dijangka pada kadar lebih rendah dalam lingkungan 1 hingga 2 peratus, manakala inflasi keseluruhan bagi tahun ini secara purata dijangka antara 0.5 peratus dengan 1.5 peratus. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan