Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Inflasi teras S'pura merosot ke paras terendah dalam lebih 3 tahun pada Julai

Inflasi teras Singapura tumbuh pada kadar paling perlahan dalam tempoh lebih tiga tahun pada Julai, lebih rendah dari unjuran para pakar ekonomi.

Anggaran Waktu Membaca:
Inflasi teras S'pura merosot ke paras terendah dalam lebih 3 tahun pada Julai

(Gambar: Reuters/Kevin Lam)

Diterbitkan : 23 Aug 2019 03:39PM Dikemas Kini : 23 Aug 2019 03:43PM

SINGAPURA: Inflasi teras Singapura tumbuh pada kadar paling perlahan dalam tempoh lebih tiga tahun pada Julai, lebih rendah dari unjuran para pakar ekonomi.

Inflasi teras, yang tidak termasuk kos penginapan dan pengangkutan darat privet, tumbuh 0.8 peratus pada Julai berbanding setahun lalu, menurut perangkaan yang dikeluarkan pada Jumaat (23 Ogos). Ini kadar paling perlahan sejak April 2016 dan lebih rendah daripada pertumbuhan 1.2 peratus pada Jun 2019.

Indeks Harga Pengguna Umum atau inflasi keseluruhan dari tahun ke tahun naik 0.4 peratus pada Julai berbanding 0.6 peratus pada Jun.

Punca utama adalah kemerosotan harga runcit dan barangan lain, kemerosotan lebih besar kos elektrik dan gas serta inflasi perkhidmatan lebih rendah, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam satu kenyataan media bersama.

Dalam perbandingan tahun ke tahun, kos runcit dan barangan lain susut 1 peratus pada Julai, berbanding pertumbuhan 0.4 peratus yang dialami pada Jun.

Menurut MAS dan MTI, ini mencerminkan kesan semakin berkurangan daripada kenaikan harga air sebelum ini serta kemerosotan lebih besar harga pakaian dan kasut.

Kos elektrik dan gas menjunam tujuh peratus berbanding kemerosotan 4.8 peratus pada Jun.

Ini disebabkan kenaikan lebih kecil harga tarif berbanding setahun lalu, serta kesan pasaran elektrik terbuka pada harga kuasa elektrik.

Inflasi perkhidmatan merosot 1.6 peratus dari tahun-ke-tahun pada Julai, berbanding 1.7 peratus pada Jun. Ini sebahagian besarnya disebabkan pertumbuhan lebih perlahan perbelanjaan percutian serta kemerosotan yuran khidmat telekomunikasi yang lebih besar berbanding kenaikan harga tiket penerbangan.

Kos makanan rata-rata kekal tidak berubah berbanding bulan sebelumnya pada 1.4 peratus.

Kos pengangkutan privet naik 0.3 peratus pada Julai berbanding tempoh yang sama tahun lalu, naik sedikit daripada 0.2 peratus yang dicatat pada Jun.

Kos penginapan merosot pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 0.9 peratus pada Julai berbanding tempoh yang sama tahun lalu, berbanding kemerosotan 1.1 peratus yang dicatat pada Jun, akibat kemerosotan harga sewa rumah yang lebih perlahan.

Unjuran inflasi teras bagi keseluruhan tahun dijangka pada kadar lebih rendah antara 1 hingga 2 peratus. 

Sumber : CNA/TQ/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan