Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Inflasi teras S'pura kekal tidak berubah pada November

Kadar inflasi teras Singapura kekal tidak berubah pada November sedang inflasi perkhidmatan yang lebih rendah diimbangi oleh penyusutan lebih kecil pada kos barangan runcit, menurut perangkaan rasmi pada Isnin (23 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Inflasi teras S'pura kekal tidak berubah pada November

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 23 Dec 2019 03:38PM Dikemas Kini : 23 Dec 2019 03:40PM

SINGAPURA: Kadar inflasi teras Singapura kekal tidak berubah pada November sedang inflasi perkhidmatan yang lebih rendah diimbangi oleh penyusutan lebih kecil pada kos barangan runcit, menurut perangkaan rasmi pada Isnin (23 Dis).

Inflasi teras - yang tidak termasuk harga pengangkutan darat privet dan penginapan - kekal pada paras 0.6 peratus, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Perangkaan itu lebih rendah berbanding ramalan 0.7 peratus menurut tinjauan Reuters.

Indeks harga pengguna atau inflasi keseluruhan meningkat 0.6 peratus berbanding setahun lalu, sejajar dengan ramalan yang diunjurkan sebelum ini dan tinggi sedikit jika dibandingkan dengan kenaikan 0.4 peratus yang dicatatkan pada Oktober.

Ini disebabkan oleh peningkatan pada inflasi pengangkutan darat privet dan penurunan lebih kecil pada kos barangan runcit dan penginapan.

Inflasi pengangkutan darat privet naik 2.3 peratus pada bulan November berbanding setahun lalu, naik daripada 1 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya, yang mencerminkan harga minyak petrol dan yuran ERP yang lebih tinggi.

Kos barangan runcit susut 0.5 peratus, lebih rendah berbanding kemerosotan 0.8 peratus yang dialami pada bulan Oktober. Ini disebabkan oleh kemerosotan yang lebih kecil pada harga barang kegunaan rumah serta pakaian dan kasut.

Kos penginapan turun 0.2 peratus pada November berbanding setahun lalu dan kejatuhannya tidak sebesar berbanding kemerosotan 0.4 peratus pada Oktober, sedang sewa rumah merosot dengan lebih perlahan, menurut kenyataan media yang dikeluarkan pada Isnin.

Kos elektrik dan gas merosot 11.8 peratus, lebih kecil berbanding kemerosotan 12.5 peratus pada bulan sebelumnya.

Inflasi makanan pula adalah sekitar 1.7 peratus bagi pada November berbanding tempoh yang sama setahun lalu, tidak berubah jika dibandingkan dengan Oktober. Ini disebabkan oleh rentak peningkatan lebih perlahan pada kos makanan yang belum dimasak yang diimbangi oleh rentak peningkatan lebih pantas pada harga makanan yang sudah tersedia.

Inflasi perkhidmatan susut sedikit kepada 1.1 peratus pada November berbanding 1.2 peratus pada bulan sebelumnya, yang sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan lebih kecil pada yuran rawatan perubatan dan pergigian.

"Bagi suku-suku mendatang, sumber luar inflasi dijangka bersifat lebih lembut, di tengah-tengah permintaan yang lemah sedang pasaran komoditi seperti makanan dan minyak pula mempunyai bekalan yang mencukupi. Namun harga minyak mungkin lebih tidak menentu dalam jangka terdekat ini, yang sekali gus mencerminkan risiko geopolitik," menurut MTI dan MAS.

Di dalam negeri pula, keadaan pasaran buruh diramal bertambah lesu dan ini akan memperlahankan pertumbuhan gaji pada 2019 dan 2020 berbanding tahun lalu, menurut kenyataan tersebut. Pada masa yang sama, kos bukan buruh seperti sewa runcit dijangka tetap lembap akibat persekitaran ekonomi yang lemah.

Inflasi teras Singapura dijangka dalam julat rendah antara 1 hingga 2 peratus pada 2019, dan pada pertengahan julat antara 0.5 hingga 1.5 peratus pada 2020.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan