Images
  • singapore skyline
    Gambar fail: Diane Leow

Inflasi teras S'pura jatuh kepada -0.2% pada Jan, sedang kos perkhidmatan merosot

SINGAPURA: Harga pengguna di Singapura merosot pada Januari, walaupun pada kadar yang lebih perlahan, sedang pihak berkuasa meramalkan perubahan "agak positif" tahun ini.

Inflasi teras susut kepada -0.2 peratus pada Januari berbanding setahun lalu dan jatuh -0.3 peratus jika dibandingkan dengan Disember tahun lalu, menurut data Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada Selasa (23 Feb).

Kadar penurunan yang lebih perlahan pada Januari disebabkan oleh kemerosotan kecil pada kos perkhidmatan.

Kos perkhidmatan susut -0.3 peratus pada Januari, sebahagian besarnya disebabkan oleh kenaikan yuran tuisyen dan yuran-yuran lain serta kos khidmat teksi dan kereta sewa privet.

Inflasi teras tidak termasuk harga pengangkutan privet dan penginapan.

Indeks harga pengguna (CPI) atau inflasi secara keseluruhannya, meningkat kepada 0.2 peratus pada Januari, naik dari 0 peratus pada Disember, didorong oleh peningkatan pada inflasi teras serta kos pengangkutan privet dan penginapan yang lebih tinggi.

KEJATUHAN KOS PERKHIDMATAN

Pada Januari, kos perkhidmatan turun -0.3 peratus, berbanding -0.8 peratus pada Disember.

Kejatuhan kos perkhidmatan juga didorong oleh "rentak kemerosotan yang lebih perlahan" pada perbelanjaan percutian, jelas MAS dan MTI. Bagaimanapun, sebahagian besar komponen CPI bagi perbelanjaan percutian dikira menggunakan perubahan pada keseluruhan inflasi kerana ia masih tidak ditawarkan ekoran sekatan perjalanan antarabangsa.

Inflasi makanan merosot kepada 1.5 peratus pada Januari berbanding 1.6 peratus pada Disember sedang harga makanan yang tidak dimasak dan makanan restoran meningkat pada rentak yang lebih sederhana.

Kos elektrik dan gas menyaksikan penurunan yang lebih besar iaitu -9.7 peratus pada Januari jika dibandingkan dengan -6.7 peratus pada Disember, disebabkan oleh kemerosotan lebih mendadak pada harga elektrik apabila tarif elektrik diturunkan.

"Berdasarkan perbandingan dari tahun ke tahun, tarif elektrik turun 14.4 peratus pada Januari, penurunan pada kadar lebih pantas berbanding kemerosotan 8.5 peratus pada bulan sebelumnya," tambah MAS dan MTI.

Kos runcit dan barangan lain turun pada rentak yang lebih curam sedikit kepada -1.3 peratus pada Januari berbanding -1.2 peratus pada Disember, dengan sebahagian besarnya didorong oleh penurunan lebih besar pada harga produk penjagaan diri serta pakaian dan kasut.

Kos pengangkutan privet meningkat kepada 1.9 peratus pada Januari daripada 1.2 peratus pada bulan sebelumnya ekoran kenaikan lebih besar pada harga kereta dan kejatuhan lebih sederhana pada harga petrol.

Inflasi penginapan juga meningkat 0.5 peratus pada bulan Januari berbanding 0.3 peratus pada Disember, sedang sewa rumah meningkat pada kadar yang lebih pantas dengan berakhirnya rebat sewa yang diberikan kepada isi rumah yang tinggal di flat sewa.

INFLASI LUAR DIJANGKA MENINGKAT

MAS dan MTI menyatakan inflasi luaran berkemungkinan meningkat pada suku-suku mendatang di tengah-tengah jangkaan harga minyak global akan kembali pulih. Bagaimanapun, sejauh mana kenaikan itu akan dibatasi oleh jurang pengeluaran negatif berterusan yang dialami oleh rakan-rakan niaga utama Singapura.

"Di peringkat domestik, tekanan kos dijangka kekal rendah, kerana pertumbuhan gaji dan sewa komersial dijangka terus melemah," menurut agensi-agensi itu, sambil menambah bahawa beberapa komponen inflasi perkhidmatan domestik juga boleh meningkat secara bertahap-tahap, seiring dengan pemulihan ekonomi.

Bagi tahun ini, inflasi teras diramal positif sedikit "kerana kenaikan harga minyak yang diunjurkan dari tahun lalu menyebabkan kenaikan pada tarif elektrik dan gas, dan kesan subsidi pemerintah yang diperkenalkan pada 2020 untuk mengawal inflasi mula pudar", menurut MAS dan MTI.

Sementara itu, kos penginapan menjadi lebih stabil, dengan sewa rumah di beberapa kawasan mencatatkan peningkatan. Kos pengangkutan privet naik semula menyusuli permintaan yang kukuh untuk kereta dan kos petrol yang lebih tinggi.

Inflasi teras tahun ini diramalkan mencecah antara 0 peratus hingga 1 peratus, sementara inflasi keseluruhan dijangkakan antara -0.5 peratus hingga 0.5 peratus.

- CNA/TQ/tq

Top