Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Inflasi teras merosot kepada 1.8% pada September

Indeks harga pengguna (CPI) teras Singapura merosot kepada 1.8 peratus pada bulan September, kurang sedikit berbanding 1.9 peratus yang dicatatkan pada Ogos, menurut perangkaan terbaru.

Anggaran Waktu Membaca:
Inflasi teras merosot kepada 1.8% pada September

Orchard Road (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 23 Oct 2018 02:49PM Dikemas Kini : 23 Oct 2018 02:52PM

SINGAPURA: Indeks harga pengguna (CPI) teras Singapura merosot kepada 1.8 peratus pada bulan September, kurang sedikit berbanding 1.9 peratus yang dicatatkan pada Ogos, menurut perangkaan terbaru.

Kadar inflasi runcit yang sederhana mengimbangi kos perkhidmatan yang lebih tinggi, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam satu kenyataan media.

Kadar inflasi teras itu tidak mengambil kira perubahan pada harga kereta dan penginapan.

Inflasi tegar kekal pada paras bulan Ogos sebanyak 0.7 peratus, disebabkan kemerosotan lebih kecil pada kos penginapan dan inflasi perkhidmatan tinggi diimbangi oleh inflasi runcit yang lebih rendah.

Secara keseluruhannya, kos barangan runcit naik 1.5 peratus pada bulan September berbanding kenaikan 2 peratus pada bulan Ogos. Ini mencerminkan rentak kenaikan lebih perlahan bagi harga pakaian dan kasut, serta kemerosotan ketara pada kos barangan riadah dan hiburan serta peralatan telekomunikasi, menurut kenyataan media tersebut.

Inflasi makanan pada September merosot kepada 1.6 peratus dari 1.7 peratus pada bulan Ogos, dengan harga barangan makanan belum masak mencatat peningkatan kecil.

Kos perkhidmatan tinggi sedikit sebanyak 1.4 peratus, berbanding 1.3 peratus yang dicatatkan pada Ogos. Ia sebahagian besarnya disebabkan peningkatan dalam yuran perkhidmatan pendidikan serta kemerosotan kecil pada yuran khidmat telekomunikasi, yang secara bersama mengimbangi rentak peningkatan yang sederhana bagi yuran perkhidmatan riadah dan budaya.

Kos penginapan pula jatuh 2.5 peratus berikutan kemerosotan 2.6 peratus pada bulan Ogos, disebabkan oleh rentak kemerosotan yang lebih perlahan bagi harga sewa rumah.

Kos pengangkutan privet turun 0.1 peratus, iaitu lebih rendah berbanding kemerosotan 0.2 peratus pada bulan Ogos. Ia disebabkan harga motosikal dan skuter yang jatuh pada September. Namun, kemerosotan itu diimbangi oleh harga minyak lebih mahal, kemerosotan kecil pada harga kereta serta Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) lebih tinggi.

Memandang ke hadapan, MAS dan MTI menyatakan bahawa inflasi barangan import mungkin meningkat disebabkan oleh harga global minyak dan makanan yang meningkat.

"Dalam negeri, pasaran buruh yang bertambah baik akan dapat menyokong rentak pertumbuhan gaji yang lebih pantas pada tahun 2018 dan 2019 berbanding 2017. Pertumbuhan dalam kos buruh unit bagi perkhidmatan semakin meningkat sejak kebelakangan ini. Sedang permintaan dalam negeri terus menjadi kukuh, kos buruh dan import yang lebih tinggi juga dapat mengimbangi harga pengguna," menurut kedua-dua pihak berkuasa.

"Sungguhpun demikian, peningkatan harga keseluruhan akan dibataskan oleh persaingan pasaran yang lebih sengit dalam beberapa segmen pengguna seperti sektor telekomunikasi, elektrik dan runcit," tambahnya.

MAS menjangkakan kadar inflasi teras meningkat sederhana dalam beberapa bulan akan datang antara 1.5 peratus dengan 2 peratus tahun ini, dan 1.5 peratus hingga 2.5 peratus pada tahun 2019.

Inflasi Semua Barangan CPI dijangka adalah sekitar 0.5 peratus tahun ini, sebelum naik kepada 1 peratus hingga 2 peratus tahun depan.  

Sumber : CNA/AI/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan