Images
  • ecno

Inflasi teras menurun; petanda ekonomi semakin lemah

BERITAmediacorp: Kadar inflasi teras atau 'core inflation' Singapura yang merosot ke parasnya yang paling rendah dalam dalam tiga tahun pada bulan Julai, mungkin membawa sama beberapa kesan.

Ia termasuk berkurangnya perniagaan dan kemungkinan nilai matawang Singapura akan diturunkan.

Lazimnya, apabila inflasi teras menurun atau menjadi negatif, ia menjadi petunjuk bahawa ekonomi negara sedang mengalami kelembapan.

Ia juga petanda bahawa kemelesetan ekonomi mungkin berlaku.

Perangkaan rasmi terkini menunjukkan, inflasi teras Singapura turun ke paras 0.8 peratus, iaitu yang paling rendah sejak April 2016.

Pakar kewangan dan ekonomi Maybank, Saktiandi Supaat berkata, ada beberapa senario yang mungkin berlaku ekoran perkembangan itu, lebih-lebih lagi jika keadaan itu berterusan.

Berita baiknya bagi pengguna ialah harga barangan import seperti pakaian dan kasut-kasut akan turun.

Ini menjadi lebih ketara jika China melambakkan eksportnya ke Asia termasuk Singapura, kerana gagal menjualnya ke Amerika Syarikat.

PERANG DAGANG AMERIKA-CHINA: PENIAGA TEMPATAN; PEKERJA TURUT TERJEJAS

Namun demikian, itu juga mungkin memberi kesan kepada para peniaga tempatan yang akan menyaksikan jumlah perniagaan mereka berkurangan.

Lantas mereka perlu mengurangkan harga untuk bersaing dan itu menjejas keuntungan masing-masing.

Menurut Encik Saktiandi, keadaan itu juga mampu menjejas para pekerja tempatan.

"Penurunan dari segi pekerjaan mungkin pada masa akan datang, harap tidak terjadi. Tetapi jika penurunan pekerjaan datang, pasaran pekerjaan lebih lemah, dan juga penurunan dari segi gaji yang berasaskan dari penurunan ekonomi pada masa akan datang," kata Encik Saktiandi.

Encik Saktiandi menambah, penting untuk memerhatikan perkembangan beberapa bulan mendatang, kerana jika keadaan menjadi bertambah buruk, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mungkin melonggarkan matawang Singapura; iaitu menurunkan nilai matawang Singapura bagi menangani kelembapan ekonomi.

Jika inflasi teras terus menurun, syarikat-syarikat mungkin perlu memikirkan cara-cara lain untuk mengekalkan keuntungan.

SEDIAKAN PAYUNG SEBELUM HUJAN

"Kita patut, harus memperkuatkan payung kita. Jadi jika angin itu kuat, payung itu mungkin tidak akan terbang ataupun mungkin tidak akan terbalik. Kita dapat tahu bahawa hujan itu akan datang melalui indikator yang seperti kita berbual sekarang," kata Encik Saktiandi.

Lantaran itu juga, Encik Saktiandi berharap para pekerja dan golongan muda khususnya akan mencari jalan untuk meningkatkan diri bagi melayari krisis dan merebut peluang-peluang baru apabila ekonomi rancak semula. 

- BERITAmediacorp/na

Top