Images
  • people walking in orchard
    Gambar fail: Calvin Oh

Inflasi teras Jun tumbuh paling perlahan sejak lebih 2 tahun

SINGAPURA: Inflasi teras Singapura pada Jun mencatatkan paras terendah dalam lebih dua tahun manakala inflasi keseluruhan pula lebih rendah daripada jangkaan sedang harga-harga perkhidmatan, runcit, elektrik dan gas naik pada kadar lebih perlahan. Demikian menurut perangkaan rasmi yang dikeluarkan pada Selasa (23 Jul).

Inflasi teras, termasuk kos penginapan dan pengangkutan privet - naik 1.2 peratus pada Jun berbanding setahun lalu. Ini berbanding 1.3 peratus yang dicatat pada Mei. Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menyatakan demikan dalam satu kenyataan media hari ini.

Perangkaan itu sejajar dengan tinjauan Reuters dan adalah terendah sejak Mac 2017 apabila inflasi teras meningkat pada kadar sama.

Kadar inflasi teras Singapura susut pada Jun akibat inflasi lebih rendah dalam perkhidmatan dan runcit serta kemerosotan lebih besar kos elektrik dan gas.

Indeks Harga Pengguna (CPI) keseluruhan merosot kepada 0.6 peratus dari tahun ke tahun. Ini berbanding 0.9 peratus pada Mei. Tinjauan Reuters telah mengunjurkan CPI semua barangan meningkat sebanyak 0.7 peratus.

Di samping inflasi teras lebih rendah, ini juga mencerminkan kejatuhan dalam inflasi pengangkutan jalan raya privet serta kemerosotan lebih besar dalam kos penginapan, kata MAS dan MTI.

Kos pengangkutan privet naik sedikit iaitu 0.2 peratus pada Jun berbanding setahun lalu. Ini adalah lebih sederhana daripada peningkatan 1.5 peratus pada bulan sebelumnya. Ia terutamanya disebabkan kenaikan kecil pada harga kereta dan kemerosotan harga petrol.

Inflasi perkhidmatan tumbuh lebih perlahan iaitu 1.7 peratus pada Jun berbanding setahun lalu, daripada 2 peratus yang dicatatkan pada Mei. Ini terutamanya mencerminkan peningkatan kecil dalam perbelanjaan percutian dan tambang penerbangan serta kemerosotan besar dalam yuran khidmat telekomunikasi.

Sementara itu, kos elektrik dan gas jatuh 4.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, lebih banyak daripada kemerosotan 4 peratus pada bulan sebelumnya.

Ini adalah kesan daripada pelancaran pasaran Elektrik Terbuka bagi harga elektrik.

Sementara itu, kos keseluruhan barangan runcit naik 0.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, rendah sedikit daripada peningkatan 0.5 peratus pada Mei.

Kadar inflasi lebih perlahan itu terutamanya disebabkan oleh penurunan harga peralatan telekomunikasi, produk perubatan dan barang-barang untuk rekreasi serta hiburan yang lebih tinggi, yang mengimbangi rentak peningkatan lebih pantas dalam produk penjagaan diri serta kemerosotan kecil dalam harga pakaian dan kasut. Demikian menurut MAS dan MTI.

Kos penginapan pula merosot pada kadar lebih pantas sedikit yakni 1.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu selepas susust 1 peratus pada bulan sebelumnya manakala inflasi makanan kekal tidak berubah dari Mei iaitu pada 1.4 peratus.

Sumber-sumber luaran inflasi "berkemungkinan besar tidak membawa kesan besar" sepanjang tahun ini, menurut MAS dan MTI.

Mereka menjangkakan inflasi teras berada pada pertengahan julat antara 1 hingga 2 peratus yang diramalkan pada 2019.

Kedua-dua kementerian itu menambah kos pengangkutan privet mungkin meningkat sedikit tahun ini berbanding tahun lalu manakala kos penginapan kemungkinan merosot pada kadar lebih perlahan tahun ini.  

- CNA/REUTERS/FZ/fz

Top