Images
  • hotel singapore
    Kadar penginapan hotel Singapura melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh sedekad sedang para pelancong dan penganjur acara perdagangan menukar pilihan destinasi dari Hong Kong. (Gambar fail: TODAY)

Industri perhotelan S'pura catat pendapatan, kadar penginapan tertinggi di tengah-tengah pergolakan Hong Kong

SINGAPURA: Kadar penginapan hotel Singapura melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh sedekad sedang para pelancong dan penganjur acara perdagangan menukar pilihan destinasi dari Hong Kong, di mana bantahan pro-demokrasi menjunamkan bilangan pelawat selain menjejas sentimen meluas para peniaga.

Perangkaan yang dikeluarkan pada Isnin (2 Sep) oleh Lembaga Pelancongan Singapura (STB) menunjukkan kadar penginapan purata di hotel-hotel kawasan bandar merekod 93.8 peratus pada Julai, yang tertinggi sejak 2005, dan satu kenaikan 92.5 peratus berbanding setahun lalu.

Perangkaan tersebut menunjukkan hasil tertinggi bagi setiap bilik dalam tempoh hampir empat tahun, menurut seorang penganalisis trend. Sementara itu, pengusaha hotel menyatakan kenaikan itu dirangsang oleh pertukaran lokasi persidangan dari hab perniagaan di Hong Kong sedang bantahan yang bermula pada pertengahan Jun bertukar menjadi semakin ganas.

"Singapura mungkin meraih manfaat seganda lebih tinggi akibat keadaan di Hong Kong kerana kedua-dua destinasi ini berkongsi ciri-ciri yang serupa," kata penganalisis DBS Derek Tan.

Sidang Kemuncak Kesejahteraan Global, perhimpunan sekitar 600 perwakilan industri kesihatan dan kecantikan yang dijadualkan pada pertengahan Oktober, baru-baru ini menyatakan ia bakal berpindah ke Singapura dari Hong Kong. Jurucakap acara tersebut berkata ini adalah "untuk memastikan perjalanan selancar mungkin."

Pengurus Besar Hotel Fairmont Singapore dan Swissotel The Stamford, Encik Marcus Hanna, berkata beliau menghoskan 60 kumpulan perniagaan bulan lalu yang berpindah destinasi dari Hong Kong untuk penginapan lima malam.

Encik Hanna berkata hotel-hotelnya, yang menawarkan kemudahan persidangan dan mesyuarat, menerima beberapa pertanyaan daripada syarikat-syarikat yang merancang untuk memindahkan acara mereka keluar dari Hong Kong di tengah-tengah pergolakan itu.

Penganalisis Jefferies, Krishna Guha, berkata rusuhan di Hong Kong mungkin menjadi faktor yang memacu sektor pelayanan Singapura. Hasil bagi setiap bilik kosong iaitu kayu ukur prestasi utama bagi industri perhotelan, melonjak kepada S$203.70 pada Julai berbanding S$200.20 pada bulan sama tahun lalu. Perangkaan itu juga yang tertinggi sejak Oktober 2015.

Beliau berkata pergolakan itu akan memberi kesan kepada rancangan percutian musim panas pelancong, dengan faktor lain pula termasuk mengetatkan bekalan hotel di negara ini semasa musim sibuk bagi para pelawat Asia Utara dan nilai mata wang dolar Singapura yang lebih lemah.  

- REUTERS/FZ/fz

Top