Images
  • Construction
    (Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

Industri binaan rayu Pemerintah bolehkan kemasukan pekerja hijrahan 'secara terkawal'

SINGAPURA: Pihak-pihak berkepentingan dalam industri binaan Singapura pada Isnin (17 Mei) mengemukakan rayuan kepada Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian COVID-19 supaya membolehkan pekerja hijrahan memasuki Singapura "dengan cara selamat dan terkawal".

Jawatankuasa Bersama Industri Binaan (CIJC) menyatakan, masalah tenaga kerjanya sekarang akan menyebabkan semakin banyak projek tertangguh. Ini menurutnya, akan menyebabkan kakitangan hilang pekerjaan.

Lantaran itulah, jawatankuasa tersebut meminta Pemerintah "untuk mengambil pendekatan seimbang dan bekerja rapat dengan industri demi membolehkan pengambilan dan kemasukan tenaga kerja asing".

"Dengan Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) dikeluarkan pada 14 Mei, industri persekitaran binaan memahami dan menyokong usaha Pemerintah untuk mengekang lonjakan kes COVID-19 sedang varian-varian baru virus itu muncul di Singapura," menurut CIJC dalam kenyataan medianya.

"Namun kami sangat prihatin tentang masalah tenaga kerja yang dialami industri binaan."

Singapura menggantung kemasukan pemegang pas jangka panjang dan pelawat jangka pendek dengan rekod perjalanan ke India sejak 24 April. Ini termasuk mereka yang singgah di India semasa melakukan perjalanan rentas sempadan.

Pengunjung yang mempunyai rekod perjalanan ke Bangladesh, Nepal, Pakistan dan Sri Lanka juga tidak dibenarkan memasuki atau singgah di Singapura sejak 2 Mei.

CIJC menyatakan kekurangan tenaga kerja ini juga mengakibatkan masalah keselamatan di tempat kerja.

"Kerumitan dan jenis kerja di tapak binaan memerlukan pekerja yang mempunyai pelbagai kepakaran, dan jumlah tenaga kerja yang kurang sekarang sudahpun bekerja pada keupayaan maksimum. Ini meningkatkan lagi risiko berlakunya insiden di tempat kerja," menurutnya.

"Kami terjejas dari segi produktiviti yang semakin berkurangan disebabkan langkah-langkah pengurusan selamat di tapak kerja. Ramai pekerja hijrahan kami juga merancang untuk pulang ke tanah air masing-masing apabilah permit kerja mereka tamat tempoh."

CIJC menambah, penangguhan pada kerja-kerja membina flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan rumah privet akan diburukkan lagi dengan penutupan sempadan, sementara kerja-kerja penyenggaraan dan projek-projek prasarana awam boleh turut terjejas.

Akibatnya, pekerja dalam industri ini boleh hilang pekerjaan, terang jawatankuasa itu lagi.

"Sektor persekitaran binaan terdiri daripada lebih 18,000 firma dan menggajikan berpuluh-puluh ribu rakyat Singapura. Pekerjaan mereka kini tergugat, sekiranya ada lebih banyak kesan yang menimpa sektor binaan," menurut CIJC.

"Hakikatnya, industri ini memerlukan kemasukan pekerja hijrahan yang berterusan, iaitu mereka yang kembali ke sini mahupun pekerja yang baru untuk menggantikan mereka yang sudah meninggalkan Singapura atas pelbagai sebab. Ini demi memastikan industri ini bertahan dan projek-projek dapat diselesaikan.

CIJC sudah menawarkan diri untuk bekerjasama dengan Pemerintah demi mencari jalan keluar.

"Kami bersedia untuk bekerjasama dengan agensi-agensi dan pihak-pihak berkepentingan yang relevan untuk membangunkan sistem menyeluruh di mana pekerja hijrahan dapat dibawa masuk dengan cara terkawal dan selamat, supaya kerja dapat diteruskan, sementara rakyat Singapura juga (kekal) selamat," tambahnya.

Industri itu turut berharap Pemerintah akan menimbangkan langkah-langkah bantuan tambahan bagi sektor persekitaran binaan, menurut CIJC lagi.  

- CNA/AQ/aq

Top