Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

India saran haramkan mata wang kripto; usul denda terhadap pedagang, peniaga

India akan mengusulkan satu undang-undang yang akan mengharamkan mata wang kripto, di samping mendenda sesiapa saja yang berniaga menggunakan mata wang berkenaan di negara berkenaan atau menyimpan aset-aset digital seperti itu, menurut seorang pegawai kanan pemerintah kepada Reuters.

Anggaran Waktu Membaca:
India saran haramkan mata wang kripto; usul denda terhadap pedagang, peniaga

Lambang mata wang kripto Ripple, Bitcoin, Etherum dan Litecoin (Gambar: Reuters/Dado Ruvic)

Diterbitkan : 15 Mar 2021 12:15PM Dikemas Kini : 15 Mar 2021 12:30PM

NEW DELHI: India akan mengusulkan satu undang-undang yang akan mengharamkan mata wang kripto, di samping mendenda sesiapa saja yang berniaga menggunakan mata wang berkenaan di negara berkenaan atau menyimpan aset-aset digital seperti itu, menurut seorang pegawai kanan pemerintah kepada Reuters, dengan langkah itu berpotensi menjejas berjuta-juta pelabur yang memiliki mata wang tersebut.

Rang undang-undang itu, antara yang paling ketat di dunia terhadap mata wang kripto, akan menjadikannya sebagai satu jenayah untuk memiliki, mengeluarkan, menjana, berniaga dan memindahkan aset-aset dalam bentuk mata wang kripto, jelas pegawai tersebut, yang mempunyai maklumat secara langsung tentang rancangan tersebut.

Langkah itu sejajar dengan agenda pemerintah pada Januari yang mengusulkan mata wang maya seperti bitcoin diharamkan, sedang ia membina kerangka mata wang digital secara rasmi. Namun komen pemerintah baru-baru ini meningkatkan harapan para pelabur bahawa pihak berkuasa mungkin akan mengambil pendekatan lebih fleksibel terhadap pasaran yang sedang berkembang pesat itu.

Sebaliknya, Rang Undang-Undang itu akan memberikan tempoh sehingga enam bulan untuk para pemilik mata wang kripto mencairkan aset itu. Denda akan dikenakan selepas tamat tempoh itu, kata pegawai tersebut, yang meminta agar namanya dirahsiakan kerana kandungan Rang Undang-Undang itu belum diketahui oleh orang awam.

Para pegawai yakin bahawa Rang Undang-Undang itu akan diluluskan sebagai satu undang-undang baru kerana pemerintah pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi masih menguasai parlimen.

Sekiranya larangan itu dikuatkuasakan sebagai satu undang-undang baru, India akan menjadi ekonomi utama yang pertama di dunia untuk mengharamkan mata wang kripto. Bahkan China, yang melarang penjanaan dan perdagangan mata wang kripyo, tidak mengenakan denda terhadap pemilikan aset itu.

Kementerian Kewangan India bagaimanapun belum lagi membalas emel untuk mendapatkan komennya.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan