Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Indeks Harga Pengguna sayuran naik kurang 1% pada Jun: MTI

Indeks Harga Pengguna (CPI) bagi sayur-sayuran naik kurang 1 peratus pada Jun, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong dalam jawapan bertulis di Parlimen pada Isnin (26 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Indeks Harga Pengguna sayuran naik kurang 1% pada Jun: MTI

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 26 Jul 2021 11:23PM Dikemas Kini : 27 Jul 2021 12:06AM

SINGAPURA: Indeks Harga Pengguna (CPI) bagi sayur-sayuran naik kurang 1 peratus pada Jun, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong dalam jawapan bertulis di Parlimen pada Isnin (26 Jul).

Beliau menjawab soalan Anggota Parlimen Liang Eng Hwa (PAP-Bukit Panjang), yang bertanya jika harga sayur-sayuran dan hasil makanan segar yang diimport dari Malaysia sudah meningkat sejak Jun dan sebabnya.

Encik Gan berkata Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) tidak merakam CPI bagi sumber makanan khusus, namun beliau menekankan bahawa Malaysia adalah sumber bekalan sayur-sayuran bagi Singapura.

"Kenaikan kecil" dalam harga kemungkinan disebabkan oleh kos perniagaan yang meningkat kerana perintah kawalan pergerakan dipertingkatkan yang dilaksanakan di Malaysia baru-baru ini, serta cuaca musiman yang menjejas bekalan hasil tuaian, katanya.

Bagi mengurangkan kesan turun naik dalam jumlah bekalan, Encik Gan berkata Singapura mempelbagaikan sumber sayur-sayuran dan hasil makanan segar yang diimport supaya harganya kekal stabil.

Beliau menambah Pemerintah juga memperkenalkan "langkah sokongan sekali sahaja" bagi membantu rakyat Singapura menampung perbelanjaan dapur semasa tempoh ketidaktentuan ekonomi, sambil memberi contoh Skim Baucar Barangan Dapur Belanjawan 2020.

Diumumkan pada Belanjawan 2020, baucar barangan dapur itu bertujuan mengurangkan beban perbelanjaan dapur bagi rakyat Singapura yang kurang berkemampuan "semasa keadaan ekonomi yang tidak menentu ini", kata Kementerian Kewangan.

Rakyat Singapura berusia 21 tahun dan ke atas pada 2020 yang tinggal di flat HDB satu dan dua bilik, dan tidak memiliki lebih daripada satu hartanah layak bagi baucar tersebut.

Setiap penerima yang layak diberikan baucar barangan dapur bernilai S$150 pada Oktober dan S$150 pada Disember 2020. Lagi S$100 akan diberikan pada Oktober 2021.

Selain daripada baucar-baucar barangan dapur, Encik Gan berkata Pemerintah membantu keluarga di sini dalam pelbagai cara.

"Misalnya, Pejabat Khidmat Sosial MSF menyediakan bantuan ComCare kepada keluarga berpendapatan rendah bagi menampung perbelanjaan harian mereka seperti makanan, pakaian, pengangkutan dan perhubungan," katanya.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan