Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Import & eksport S'pura susut tahun lalu tapi diramal berkembang pada 2021

Secara keseluruhannya perdagangan barang Singapura merosot sebanyak 5.2 peratus pada tahun lalu, mencecah S$969 bilion berbanding S$1 trilion yang dicatatkan pada 2019.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Feb 2021 12:41PM Dikemas Kini : 15 Feb 2021 09:01PM

SINGAPURA: Secara keseluruhannya perdagangan barang Singapura merosot sebanyak 5.2 peratus pada tahun lalu, mencecah S$969 bilion berbanding S$1 trilion yang dicatatkan pada 2019.

Bagaimanapun perangkaan bagi 2021 dijangka akan meningkat, dengan Enterprise Singapore mengemas kini unjuran awal antara 1 peratus hingga 3 peratus dan menaikkannya kepada 2 peratus hingga 4 peratus.

Penurunan 5.2 peratus dalam perdagangan keseluruhan bagi 2020 sebahagian besarnya disebabkan oleh kemerosotan 31 peratus pada perdagangan minyak di tengah-tengah harga minyak yang lebih rendah berbanding setahun lalu, menurut data rasmi yang dikeluarkan pada Isnin (15 Feb).

Perdagangan bukan minyak naik sedikit iaitu 0.7 peratus pada 2020 setelah susut 0.3 peratus pada 2019.

Kedua-dua eksport dan import masing-masing jatuh 3.2 peratus dan 7.4 peratus pada 2020.

EKSPORT BUKAN MINYAK

Eksport bukan minyak (NOX), yang merangkumi kedua-dua eksport domestik bukan minyak (NODX) dan eksport semula bukan minyak (NORX), meningkat 1.7 peratus pada 2020 berbanding kemerosotan 1.9 peratus yang dialami pada 2019.

Berdasarkan penyesuaian musiman dari suku ke suku, NOX tumbuh 0.5 peratus pada suku keempat selepas mencatat peningkatan 5.1 peratus pada suku sebelumnya.

Selepas merosot 9.2 peratus pada 2019, pertumbuhan 4.3 peratus yang diraih NODX tahun lalu dirangsang oleh penghantaran elektronik dan bukan elektronik yang lebih tinggi, menurut Enterprise Singapore.

NODX elektronik tumbuh 4.9 peratus pada 2020 selepas mengalami penguncupan 22.5 peratus pada tahun sebelumnya. NODX bukan elektronik meningkat 4.1 peratus pada 2020 setelah menyusut 4.5 peratus pada 2019.

Berdasarkan perbandingan dari tahun ke tahun pula, NODX susut 0.5 peratus pada suku keempat setelah meraih peningkatan 6.5 peratus pada suku sebelumnya disebabkan oleh penurunan pada NODX elektronik yang mengatasi peningkatan elektronik. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan