Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

IBM Tampines akan ditutup, lebih ramai pekerja dijangka diberhentikan

Sembilan tahun selepas ia dibuka, kemudahan pengilangan gergasi teknologi global IBM di Tampines akan ditutup, dengan baki pekerjanya akan diberhentikan.

Anggaran Waktu Membaca:
IBM Tampines akan ditutup, lebih ramai pekerja dijangka diberhentikan

(Gambar: Janice Lim/TODAY)

Diterbitkan : 13 Apr 2019 08:59AM Dikemas Kini : 13 Apr 2019 09:02AM

SINGAPURA: Sembilan tahun selepas ia dibuka, kemudahan pengilangan gergasi teknologi global IBM di Tampines akan ditutup, dengan baki pekerjanya akan diberhentikan.

Penutupan IBM Singapore Technology Park itu diumumkan menyusuli beberapa pusingan pemberhentian pekerja antara Mei dengan Julai tahun lalu.

Dalam kiriman emelnya kepada Mediacorp, firma Amerika Syarikat itu menyatakan bahawa penghasilan komputer kerangka utamanya, yang dinamakan IBM Z, akan berpindah ke Poughkeepsie, New York di Amerika Syarikat.

Pihaknya juga menyatakan bahawa langkah itu diambil menyusuli "semakan berterusan IBM terhadap cara paling berkesan pagi penyumberan produk-produk(nya)".

Berpangkalan di New York, firma teknologi itu bagaimanapun enggan mendedahkan bilangan pekerja yang akan diberhentikan, setakat menyatakan "semua pekerja yang terjejas akan meninggalkan syarikat pada hujung Julai (2019)".

Beberapa kakitangan dan subkontraktor IBM memberitahu Mediacorp bahawa sebahagian besar pekerja - sekurang-kurangnya 70 peratus - akan meninggalkan IBM pada akhir bulan ini, manakala bakinya akan meninggalkan syarikat itu pada hujung Julai.

Dua daripada mereka, daripada pasukan yang berasingan dengan jumlah gabungan pekerja melebihi 50 orang, masing-masing mengatakan bahawa seluruh pasukan mereka akan diberhentikan.

Mereka diberitahu tentang penutupan kilang dan pemberhentian pekerja pada awal Mac.

Para kakitangan IBM akan menerima satu bulan gaji bagi setiap tahun mereka bertugas dengan syarikat itu sebagai sebahagian daripada pakej pampasan mereka, manakala mereka yang bekerja untuk subkontraktor logistiknya Geodis, akan menerima gaji dua minggu bagi setiap tahun mereka bertugas.

Di bawah garis panduan Kementerian Tenaga Manusia (MOM), syarikat-syarikat digalak supaya membayar faedah pemberhentian pekerja dalam bentuk gaji antara dua minggu dengan sebulan bagi setiap tahun mereka bertugas, bergantung kepada kedudukan kewangan syarikat dan industri.

Mediacorp sebelum ini melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 200 kakitangan IBM dan subkontraktornya sudah diberhentikan daripada sekitar 400 hingga 600 pekerja di kilang Tampines.

Pada masa itu, IBM menyatakan bahawa penghasilan produk-produk IBM Z akan diteruskan di Taman Teknologi Singapura di Tampines.

Kilang di Tampines itu dibuka pada tahun 2010 dengan pembukaannys dirasmikan oleh Menteri Kewangan ketika itu, Encik Tharman Shanmugaratnam.

Kemudahan bernilai S$90 juta dan seluas 365,000 kaki persegi itu bertujuan untuk memberi khidmat kepada pelanggan yang menggunakan sistem nilai tinggi di Asia, Afrika dan Eropah.

IBM menyatakan Singapura kekal sebagai "lokasi strategik" bagi syarikat itu. Unit perniagaannya yang lain, misalnya, IBM Watson Centre di kawasan Marina Bay, khidmat pengurusannya, perisian, blockchain dan perkhidmatan lain tidak akan terjejas.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan