Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

IATA gesa pemerintah dunia terus hulur bantuan kewangan kepada syarikat penerbangan

Dengan perjalanan udara antarabangsa tidak mungkin pulih ke paras sebelum pandemik sehingga 2024, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menggesa pemerintah-pemerintah dunia supaya menghulurkan lebih banyak bantuan kewangan kepada syarikat penerbangan masing-masing.

Anggaran Waktu Membaca:
IATA gesa pemerintah dunia terus hulur bantuan kewangan kepada syarikat penerbangan

Gambar fail pesawat Scoot, Silkair dan SIA di landasan Lapangan Terbang Changi (Gambar: Reuters/Edgar Su)

Diterbitkan : 26 Nov 2020 10:34AM Dikemas Kini : 26 Nov 2020 10:39AM

SINGAPURA: Dengan perjalanan udara antarabangsa tidak mungkin pulih ke paras sebelum pandemik sehingga 2024, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menggesa pemerintah-pemerintah dunia supaya menghulurkan lebih banyak bantuan kewangan kepada syarikat penerbangan masing-masing, dengan sebahagian besar daripadanya mungkin kehabisan wang tunai dalam tempoh empat bulan.

Pertubuhan industri penerbangan global itu meramalkan pada Rabu (25 Nov) pemulihan yang perlahan bagi syarikat-syarikat penerbangan, termasuk syarikat-syarikat penerbangan yang beroperasi di Asia Pasifik. Pasaran domestik bagi penerbangan jarak dekat kurang daripada 5,500km dijangka bangkit semula sebelum hujung 2022, menurut anggaran IATA, manakala pasaran antarabangsa pula hanya akan pulih pada awal 2024.

Ramalan suram itu menunjukkan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh syarikat-syarikat penerbangan walaupun vaksin dijangka tersedia. Unjuran itu adalah berdasarkan jangkaan IATA yang meramalkan sempadan akan dibuka semula tahun depan dengan gabungan ujian COVID-19 dan pengagihan vaksin.

Encik Conrad Clifford, naib presiden rantau Asia Pasifik bagi IATA, berkata: "Industri global sedang dalam keadaan tenat." Beliau berkata demikian pada Rabu (25 Nov) semasa taklimat media mengenai kesan COVID-19 ke atas industri penerbangan di rantau ini.

Dengan kemelesetan diramal berlarutan, IATA menjangkakan syarikat-syarikat penerbangan Asia Pasifik akan mengalami kerugian AS$ 31.7 bilion (S$42.6 bilion) pada 2020 dan kerugian AS$7.5 bilion (S$10.04 bilion) pada 2021.

Pihaknya meramalkan syarikat-syarikat penerbangan di Amerika Utara akan mengalami defisit AS$56.8 bilion (S$76.06 bilion) dan Eropah pula akan mencatat kerugian AS$38.8 bilion (S$51.95 bilion) sepanjang tempoh dua tahun itu.

"Apa yang kami benar-benar ingin katakan kepada pemerintah seluruh dunia adalah kami memerlukan bantuan langsung bagi syarikat-syarikat penerbangan secepat mungkin, jika mereka mahu terus bertahan sehingga penerbangan dapat disambung semula," kata Encik Clifford.

Apabila penutupan sempadan menghentikan perjalanan antarabangsa, Singapore Airlines (SIA) mencatatkan kerugian tahun penuh yang pertama bernilai S$212 juta bagi tempoh 12 bulan yang berakhir pada 31 Mac, setelah kekal menguntungkan sepanjang sejarahnya selama 48 tahun.

Kerugian syarikat penerbangan itu dijangka berlarutan, dengan SIA melaporkan kerugian suku tahunan terburuk dalam sejarah - S$2.34 bilion bagi tempoh Julai-September.

Pemerintah Singapura juga sudah mengikrarkan sokongannya terhadap sektor penerbangan, menerusi subsidi gaji, rebat bagi yuran tempat letak pesawat dan langkah-langkah bantuan lain.

Pemerintah juga sudah memperuntukkan lagi S$187 juta mulai bulan ini untuk membantu sektor penerbangan melalui Pakej Bantuan Sektor Penerbangan Yang Dipertingkatkan.

IATA menyeru pemerintah-pemerintah dunia supaya meneruskan langkah-langkah bantuan kewangan untuk menyokong syarikat penerbangan masing-masing.

Kos-kos seperti yuran lapangan terbang dan penyedia khidmat pengemudian udara, yuran minyak dan cukai perlu dikekalkan pada paras yang rendah, tambahnya.

ATURAN PERJALANAN UDARA

Encik Clifford juga menggesa pemerintah supaya menggantikan rejim kuarantin dengan program ujian yang luas.

Jika kuarantin 14 hari dikekalkan, kata beliau, "kita akan terus menyaksikan pengurangan 90 peratus yang dialami sekarang".

Banyak pemerintah, katanya, lebih menumpukan perhatian kepada usaha mencapai sifar kes COVID-19 sebelum membuka semula sempadan.

Namun, jika mereka dapat bertemu dengan wilayah lain dengan kadar penularan yang serupa, sempadan boleh dibuka semula tanpa para pelawat perlu menjalani kuarantin.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan