Images
  • hyflux logo
    (Gambar: Jeremy Long)

Hyflux, Utiqo 'dalam proses' capai perjanjian S$400 juta

SINGAPURA: Syarikat rawatan air yang dibelenggu hutang Hyflux dan firma berpotensi jadi penyelamat Utico sedang "dalam proses" mencapai perjanjian pelaburan bagi syarikat perbekalan awam Amiriah Arab Bersatu itu melaburkan S$400 juta bagi 88 peratus saham dalam firma Singapura tersebut. Demikian menurut syarikat-syarikat berkenaan dalam satu kenyataan bersama pada Khamis (11 Jul).

Utico, merupakan salah satu daripada tujuh syarikat pelabur berpotensi sebelum ini yang melanjutkan tarikh akhir kepada 27 Jun untuk mencapai perjanjian dengan Hyflux.

Dalam perkembangan terkini pada Khamis, kedua-dua syarikat menyatakan pihaknya sudah mengadakan "rundingan tidak formal" selepas tarikh akhir 27 Jun ke arah satu perjanjian, tertakluk kepada persetujuan kesemua pihak berkepentingan dan dokumen yang dimuktamadkan dan ditandatangani.

Perjanjian itu melibatkan Utico mengambil alih 88 peratus saham ekuiti Hyflux bernilai S$300 juta manakala S$100 juta pula dalam bentuk pinjaman pelabur.

Utico juga bercadang menawarkan wang tunai dengan nilainya sama seperti taruhan empat peratus saham kumpulan syarikat Utico serta tunai tambahan bagi pemegang saham istimewa dan sekuriti modal berpanjangan.

Kedua-dua syarikat itu, secara aktif juga mengadakan perbincangan sepanjang beberapa minggu lalu dan bertemu dengan pelbagai kumpulan pihak berkepentingan pada Selasa dan Rabu untuk merundingkan perjanjian.

Proses penyusunan semula Hyflux sepanjang setahun lalu masih dipantau rapi puluhan ribu pelabur runcit. Syarikat itu bulan lalu meyatakan pihaknya mengadakan rundingan dengan tujuh pelabur berpotensi sejak rundingan dengan SM Investments pada April tidak menjadi.

Hyflux sebelum ini turut menamakan dana pelaburan global Oyster Bay Fund dan sebuah firma penyulingan yang tidak didedahkan namanya, sebagai antara pihak-pihak yang minat membuat pelaburan.

- CNA/TQ/tq

Top