Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Hyflux terima pelaburan S$530 juta dari kumpulan syarikat Salim, Medco Indonesia

Syarikat rawatan air tempatan, Hyflux yang dibelenggu masalah kewangan menerima suntikan pelaburan S$530 juta menerusi sebuah konsortium yang terdiri daripada dua kumpulan syarikat terkemuka Indonesia - Salim Group dan Medco Group.

Anggaran Waktu Membaca:
Hyflux terima pelaburan S$530 juta dari kumpulan syarikat Salim, Medco Indonesia

(Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 19 Oct 2018 06:24PM Dikemas Kini : 19 Oct 2018 06:26PM

SINGAPURA: Syarikat rawatan air tempatan Hyflux yang dibelenggu masalah kewangan menerima suntikan pelaburan S$530 juta menerusi sebuah konsortium yang terdiri daripada dua kumpulan syarikat terkemuka Indonesia - Salim Group dan Medco Group.

Langkah ini lantas membantu merangsang Hyflux yang kini mendapatkan perlindungan mahkamah bagi menyusun semula perniagaan dan menguruskan hutangnya.

Konsortium tersebut, SM Investment, akan memiliki 60 peratus ekuiti Hyflux sebaik sahaja perjanjian pelaburan itu dimuktamadkan sepenuhnya, menurut Hyflux pada Khamis (18 Okt).

Pelaburan tersebut dibahagikan kepada dua bahagian: S$400 juta bagi 60 peratus ekuiti dan pinjaman pemegang saham sebanyak S$130 juta, menurut laporan bursa saham.

Hyflux juga akan mendapat pinjaman S$30 juta sebagai modal kerja sementara sehingga perjanjian itu dimuktamadkan.

Hyflux bermula sebagai sebuah syarikat merawat air tempatan dan kemudian meneroka pasaran menjana bekalan kuasa.

Syarikat tersebut membuat pengumuman mengejut Mei lalu untuk memohon bagi perlindungan mahkamah bagi menyusun semula liabilitinya, selepas perniagaan tenaganya terjejas oleh pasaran elektrik Singapura yang terus lemah.

CEO Hyflux, Olivia Lum, berkata lembaga syarikat itu percaya tawaran dari dua kumpulan syarikat Indonesia itu adalah perjanjian terbaik yang diterimanya.

Menurutnya, perjanjian itu juga memberi peluang baru bagi Hyflux dalam pasaran Indonesia.

Diasaskan pada 1989 oleh Cik Lum, Hyflux membangunkan dua loji sulingan air di Singapura yang mampu memenuhi 25 peratus keperluan air negara ini.

Ia menggajikan 2,300 orang di merata dunia dan turut mempunyai operasi perniagaan di merata Asia, Timur Tengah dan Afrika.

Liabiliti syarikat itu berjumlah S$2.6 bilion pada akhir bulan Mac.

Sumber : CNA/TQ/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan