Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Hyflux saman SM Investments ekoran penolakan perjanjian

Lebih seminggu selepas membatalkan perjanjian penting dengan syarikat Indonesia SM Investment, Hyflux pada Isnin (15 Apr) mengumumkan pihaknya akan memulakan tindakan saman terhadap syarikat itu yang sepatutnya menyelamatkanya

Anggaran Waktu Membaca:
Hyflux saman SM Investments ekoran penolakan perjanjian

Tuaspring perlu membekalkan sehingga 70 juta gelen air yang disuling setiap hari kepada PUB bagi tempoh 25 tahun, iaitu dari 2013 hingga 2038. (Gambar: Hyflux)

Diterbitkan : 15 Apr 2019 10:32PM Dikemas Kini : 15 Apr 2019 10:35PM

SINGAPURA: Lebih seminggu selepas membatalkan perjanjian penting dengan syarikat Indonesia SM Investment, Hyflux pada Isnin (15 Apr) mengumumkan pihaknya akan memulakan tindakan saman terhadap syarikat itu yang sepatutnya menyelamatkanya.

Hyflux dalam satu kenyataan mendedahkan pihaknya sudah memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi Singapura "untuk mulakan tindakan terhadap pelabur itu kerana menolak perjanjian penyusunan semula" serta untuk menuntut deposit S$38.9 juta.

Hyflux sebelum ini mempertahankan haknya untuk menuntut wang pendahuluan itu, yang diletakkan dalam pengurusan pihak ketiga sejurus selepas perlaksanaan perjanjian penyusunan semula, jika SM Investments "membatalkan secara tidak wajar" perjanjian itu.

Menurut kenyataan itu, SM Investments "menyangkal bahawa pihaknya menolak perjanjian penyusunan semula" yang ditandatangani Oktober lalu.

Hyflux menyatakan pihaknya akan memberi kemas kini terbaru apabila terdapat sebarang perkembangan ketara.

Syarikat tempatan memohon perlindungan mahkamah Mei lalu bagi menyusun semula hutang-hutangnya. Pada Oktober, SM Investments menyatakan hasrat untuk melabur S$530 juta ke dalam syarikat Hyflux, digantikan dengan 60 peratus saham syarikat Singapura itu.

Namun, keretakan pada kerjasama itu mula muncul pertengahan Mac apabila konsortium Indonesia tersebut menyatakan ia mungkin menarik diri daripada perjanjian itu ekoran notis kemungkiran yang dikeluarkan PUB terhadap Hyflux.

Pada bulan lalu juga, SM Investments menyelar syarikat Singapura itu berhubung isu pengisytiharan maklumat dan dakwaan kegagalan membayar hutang bagi loji penyulingan Magtaa milik Hyflux di Algeria.

Tinggal beberapa minggu sahaja sehingga penangguhan yang disahkan mahkamah luput pada hujung bulan ini, Hyflux pada 4 April membatalkan perjanjian penyusunan itu, menyatakan pihaknya "tidak yakin" terhadap SM Investments untuk menyempurnakan perjanjian itu.

"Pihak pelabur enggan memberikan syarikat pengesahan bertulis bahaw ia akan meneruskan pelaburan yang diusul SMI jika syarat-syarat sedia ada dilaksanakan," menurut Hyflux awal tahun ini semasa membatalkan perjanjian.

"Dalam keadaan itu, pihak pelabur menolak perjanjian penyusunan semula," tambahnya.

SM Investments pula menjawab bahawa pihaknya "terperanjat" dengan tindakan Hyflux. Konsortium itu menambah pihaknya mematuhi perjanjian itu pada setiap keadaan dan akan memohon nasihat guaman berhubung hal itu.

Nasib Hyflux kini tidak menentu ekoran perubahan mendadak itu. Dalam satu sidang pengurusan kes minggu lalu, para penasihat guaman syarikat itu memberitahu mahkamah bahawa pihaknya merancang untuk berbincang dengan semua pihak kanan tidak bercagar.

Syarikat itu juga belum memutuskan sama ada untuk memohon dilanjutkan tempoh pembayaran hutangnya. Hyflux diberikan sehingga 25 April untuk membuat permohonan di mahkamah Singapura jika pihaknya memutuskan untuk melakukan demikian.

Pemberitahuan pada Isnin juga merangkumi pengumuman bahawa nTan Corporate Advisory sebagai penasihat tambahan dalam proses penyusunan semula Hyflux.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan