Images
  • hyflux
    (Gambar: Jeremy Long)

Hyflux mesti 'telus dan jujur' dalam pertemuan dengan pelabur: SIAS

SINGAPURA: Syarikat Hyflux perlu menangani keprihatinan para pelabur runcit yang terjejas oleh penyusunan semulanya dan bersikap 'telus dan jujur' apabila ia mengadakan pertemuan dengan mereka pada Jumaat (18 Jan).

Presiden Persatuan Pelabur Sekuriti (Singapura) (SIAS), David Gerald, membuat gesaan tersebut pada Khamis (17 Jan) kepada syarikat rawatan air itu supaya memberikan keterangan yang lebih jelas mengenai bagaimana dan bilakah para pelabur boleh mendapatkan semula wang mereka.

Hyflux dijadualkan mengadakan pertemuan dengan para pelaburnya buat kali kedua pada Jumaat (18 Jan). Syarikat yang dibelenggu hutang itu pertama kali mengadakan mesyuarat pada Julai lalu. Ketika itu, para pelabur merungut bahawa tidak banyak maklumat terkini yang diberikan.

Sejak itu, Hyflux sudah menerima bantuan bernilai S$530 juta daripada dua pelabur rakyat Indonesia.

Meskipun ini menunjukkan bahawa syarikat berkenaan sedang berusaha untuk memenuhi jangkaan para pemberi pinjaman, Encik Gerald berkata dalam satu kenyataan yang diterbitkan di laman SIAS bahawa lebih banyak boleh dilakukan.

Para pelabur "wajar menjangkakan bahawa syarikat itu sudah mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan satu huraian terbaik," tambahnya.

Pada minggu lalu, Encik Gerald menggesa CEO Pengasas Hyflux Olivia Lum supaya meletakkan jawatan sebagai pengerusi dan memberi laluan kepada seorang calon bebas yang boleh "meluaskan dan mengukuhkan lembaga pengarah Hyflux yang sedia ada bagi menguruskan kerumitan dan selok-belok penyusunan semula besar-besaran itu." 

"Langkah seumpama itu akan melegakan semua pihak berkepentingan," kata beliau dalam komentar yang diterbitkan pada 11 Januari di akhbar The Business Times.

Hyflux sebelum ini menyatakan bahawa ia merancang untuk melibatkan para pemberi pinjaman sebelum membentangkan satu rancangan penyusunan semula bagi undian, menjelang tamat tempoh lanjutan penangguhan hutang pada April ini.  

- CNA/AI/ai

Top