Images
  • utico
    (Gambar: Jeremy Long)

Hyflux diberi sehingga Jumaat tanda tangan perjanjian penyusunan semula dengan Utico

SINGAPURA: Syarikat perbekalan awam Amiriah Arab Bersatu, Utico, memberi Hyflux sehingga 5.00 petang pada Jumaat (1 Nov) untuk menerima syarat-syarat dalam draf terbaru perjanjian muktamad penyusunan semula. Mahkamah Tinggi Singapura diberitahu demikian semasa sidang pengurusan kes pada Khamis.

Jika Hyflux gagal mempersetujui syarat-syarat tersebut, Utico akan membatalkan perjanjian penyusunan semula tersebut.

Peguam WongPartnership, Manoj Sandrasegara yang mewakili Hyflux, memberitahu mahkamah beberapa syarat dalam perjanjian tersebut "tidak mampan dari sudut komersil" buat Hyflux dan pihak-pihak berkepentingan.

Beliau menerangkan, semasa satu mesyuarat bersama pihak berkepentingan pada Rabu, mereka berkata perjanjian terbaru itu "tidak memenuhi keprihatinan mereka".

Buat masa ini, Hyflux, syarikat rawatan air yang dibelenggu masalah hutang, akan berunding dengan Utico untuk melanjutkan tarikh luput pada Jumaat ini, agar rundingan berhubung perjanjian itu boleh diteruskan, kata Encik Manoj.

Pakej perjanjian untuk menyelamatkan Hyflux melibatkan Utico memperoleh 88 peratus pegangan saham ke atas syarikat itu menerusi suntikan ekuiti S$300 juta bagi peminjam kanan tidak bercagar, serta pinjaman pemegang saham berniilai S$100 juta.

Encik Manoj memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Hyflux akan terus mendampingi bakal pelabur lain, sambil menambah seorang pelabur berpotensi mungkin membentangkan cadangan penyusunan semula hutang menjelang hujung minggu ini. Beliau tidak mendedahkan sebarang butiran tentang bakal pelabur itu.

Mediacorp difahamkan bahawa ketua eksekutif Hyflux Olivia Lum kini berada di luar negara untuk berunding dengan bakal pelabur lain.

Encik Eddee Ng, rakan kongsi kanan di Tan kok Quan Partnership yang mewakili sekumpulan tujuh bank tanpa cagaran, berkata kumpulan itu sangat prihatin terhadap "perkembangan perlahan rundingan" dan menambah bahawa maklumat lanjut berhubung bakal pelabur lain sejauh ini tidak jelas.

Semasa sidang pengurusan kes, Hakim Aedit Abdullah menekankan moratorium hutang Hyflux, yang dijadual luput pada 2 Disember, tidak boleh dilanjutkan kecuali "terdapat cadangan jelas dirundingkan" supaya "ada prospek rancangan yang sedang dibentangkan".

Perbicaraan mahkamah seterusnya buat Hyflux adalah pada 30 November, namun boleh dipercepatkan jika perlu.

- CNA/TQ/tq

Top