Images
  • hyflux
    (Gambar fail: TODAY)

Hyflux belum 'terima atau setuju' perjanjian dengan Utico

SINGAPURA: Hyflux menyatakan pada Selasa (14 Mei) bahawa pihaknya "belum menerima atau mempersetujui" perjanjian sah dengan syarikat perbekalan Amiriah Arab Bersatu (UAE) Utico, iaitu salah sebuah syarikat penyelamat yang dilaporkan membuat satu tawaran pelaburan dua hari lalu.

Mengulas tentang laporan media mengenai tawaran itu, syarikat rawatan air yang dibelenggu hutang mendedahkan dalam kenyataan yang difailkan dengan Bursa Singapura bahawa Utico hanya menyerahkan "lampiran draf syarat-syarat", dan syarat-syarat bagi pelaburan Utico dalam Hyflux masih sedang dimuktamadkan.

Reuters melaporkan pada Ahad bahawa Utico membuat tawaran bagi perjanjian untuk melabur S$400 juta dalam syarikat Hyflux, dan akan menyediakan modal kerja dan segala dana sementara yang mustahak sebagai sebahagian daripada tawarannya.

Sementara itu, Hyflux menyatakan pihaknya sedang berunding dengan Oyster Bay Fund, iaitu syarikat dana pelaburan berbilang strategi global yang didedahkan minggu lalu sebagai syarikat penyelamat kedua yang sedang menimbangkan pelaburan sehingga S$500 juta.

Hyflux yang pada suatu ketika dahulu merupakan antara syarikat-syarikat terunggul tempatan, kini sedang menjalani proses penyusunan semula di bawah penyeliaan mahkamah sejak Mei lalu. Proses itu penuh dengan onak dan duri, seperti bantahan oleh para pelabur runcit dan pembatalan rancangan oleh konsortium Indonesia SM Investments untuk menyelamatkan syarikat itu.

Kenyataan yang difailkan oleh Hyflux dengan Bursa Singapura pada Selasa juga mengumumkan bahawa Maybank melantik Timothy James Reid dan Theresa Ng dari firma penasihat kewangan dan penyusunan semula Australia, Ferrier Hodgson, sebagai penerima dan pengurus ke atas aset-aset Loji Air dan Tenaga Bersepadu Tuaspring, kecuali loji penyulingan air dan infrastruktur yang dikongsi.

- CNA/ZM/zm

Top