Images
  • huawei
    Gambar fail logo Huawei di sebuah pusat beli-belah di Shanghai, China. (Gambar fail: Aly Song/Reuters)

Huawei teruskan tindakan undang-undang terhadap pemerintah AS

SHENZHEN: Huawei sudah mengambil langkah selanjutnya dalam tindakan undang-undang terhadap pemerintah Amerika Syarikat.

Syarikat teknologi terkemuka China itu sudah meminta sebuah mahkamah Amerika menolak undang-undang yang mengharamkan agensi-agensi federal Amerika membeli produk Huawei.

Huawei sudah mencabar undang-undang Amerika itu sejak Mac lalu kerana menyifatkannya sebagai melanggar perlembagaan negara.

Menurut Huawei lagi Dewan Kongres Amerika gagal memberikan bukti untuk menyokong pengharamannya terhadap produk-produk syarikat itu.

Huawei kini meminta mahkamah membuat keputusan yang berpihak kepadanya.

Syarikat teknologi China itu juga sedang menghadapi arahan eksekutif Amerika yang lebih luas, melarang produk-produk Huawei daripada digunakan di Amerika.

Selain itu, Huawei sudah dimasukkan ke dalam senarai hitam yang menghalang syarikat tersebut menggunakan komponen-komponen buatan Amerika bagi produk keluarannya.

Washington mendakwa bahawa China boleh mempergunakan sistem Huawei bagi melakukan perisikan.

Sehubungan dengan itu Amerika menggesa negara-negara lain supaya tidak menggunakan produk Huawei bagi rangkaian teknologi mudah alih 5G.

- REUTERS/MU/na

Top