Images
  • huawei
    Gambar fail logo Huawei di sebuah pusat beli-belah di Shanghai, China. (Gambar fail: Aly Song/Reuters)

Huawei dijangka lancar sistem operasi Hongmeng

MEXICO CITY: Seorang eksekutif syarikat China, Huawei, yang dilarang bekerja dengan syarikat-syarikat teknologi Amerika Syarikat berkata pada Khamis (13 Jun) bahawa syarikat gergasi itu sedang dalam proses untuk melancarkan sistem operasinya yang tersendiri iaitu Hongmeng bagi menggantikan sistem operasi Android.

Andrew Williamson, naib presiden ehwal awam dan perhubungan Huawei Technologies, berkata dalam satu wawancara bahawa syarikat itu akan mendaftarkan Hongmeng sebagai hak cipta syarikat itu.

Pentadbiran Presiden Donald Trump meletakkan Huawei dalam senarai hitam bulan lalu yang melarang syarikat itu daripada berurus niaga dengan syarikat-syarikat teknologi Amerika Syarikat seperti Alphabet yang menghasilkan sistem operasi Android yang dimuatkan dalam telefon-telefon bijak Huawei.

"Huawei sedang dalam proses untuk melancarkan pengganti sistem operasi Android," kata Encik Williamson di Mexico City.

"Ini bukan sesuatu yang dimahukan Huawei. Kami sangat gembira dapat menyertai keluarga Android, tetapi Hongmeng sedang diuji, kebanyakannya di China."

Menurut Encik Williamson, pertumbuhan hasil pendapatan Huawei pada 2019 akan kekal sama seperti tahun lalu, iaitu sekitar 20 peratus berbanding 19.5 peratus pada 2019.

Huawei menyatakan pada Mac bahawa tiga kumpulan perniagaan utamanya dijangka mencatat pertumbuhan dua angka tahun ini.

Williamson berkata jika ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dengan China memuncak sehingga menjadi perang perdagangan, Huawei bersedia untuk melancarkan Hongmeng dalam tempoh beberapa bulan.

Data daripada Pertubuhan Hak Milik Intelektual Sedunia PBB menunjukkan Huawei, pembuat peralatan rangkaian telekom terbesar di dunia, sudah pun membuat permohonan untuk mendaftarkan Hongmeng di beberapa negara.

Williamson berkata syarikat-syarikat pembuat cip mengetahui bahawa tindakannya untuk memutuskan hubungan dengan Huawei mempunyai kesan-kesan yang akan "memudaratkan" perniagaan mereka.

Huawei dipantau rapi selama lebih setahun kebelakangan ini menyusuli dakwaan Amerika Syarikat bahawa peranti buatan syarikat itu seperti router dan suis membolehkan pemerintah China untuk mengintip kegiatan komunikasi Amerika Syarikat.

- Reuters/ZM/zm

Top