Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Hotel kucing tawar khidmat jagaan bila pemilik pulang kampung berhari raya

Setiap kali menjelang musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, pemilik kucing menghadapi masalah bagi penjagaan haiwan peliharaan kesayangan mereka apabila semuanya pulang ke kampung halaman masing-masing.

Anggaran Waktu Membaca:
Hotel kucing tawar khidmat jagaan bila pemilik pulang kampung berhari raya

'Hotel For Cats' sediakan 60 bilik bermacam saiz untuk kucing selain makanan dan keperluan lain haiwan peliharaan itu. (Gambar: Hotel For CATS (Melaka)/Facebook)

Diterbitkan : 03 Jun 2019 10:55AM Dikemas Kini : 03 Jun 2019 10:58AM

MELAKA: Setiap kali menjelang musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, pemilik kucing menghadapi masalah bagi penjagaan haiwan peliharaan kesayangan mereka apabila semuanya pulang ke kampung halaman masing-masing.

Bilangan hotel kucing yang terhad di Melaka menyebabkan golongan penduduk yang memelihara kucing terpaksa membuat tempahan awal demi memastikan haiwan peliharaan mereka itu mendapat penjagaan sempurna sepanjang ketiadaan mereka di sisi.

Kesulitan itu cukup difahami pemilik hotel kucing ‘Hotel For Cats’, Akram Azly, berusia 35 tahun. Lantaran itu, beliau mengambil keputusan untuk membuka hotel kucing di Krubong pada 2011 sebelum berpindah ke Taman Ayer Keroh Height dekat Ayer Keroh, Melaka, pada 2014.

'Hotel For Cats' sediakan 60 bilik bermacam saiz untuk kucing selain makanan dan keperluan lain haiwan peliharaan itu. (Gambar: Hotel For CATS (Melaka)/Facebook)

“Saya mula membela seekor kucing bernama ‘Tiger’ ketika menuntut di Universiti Multimedia (MMU), kampus Ayer Keroh, dan ketika itu saya terpaksa mengorbankan masa cuti semata-mata untuk menjaga Tiger tiap kali cuti semester,” kongsinya.

JAGA KUCING PELIHARAAN LAIN SECARA SUKARELA

Pada masa yang sama, Encik Akram berkata beliau dan isterinya, Cik Izawah Kamal, 34 tahun, menjaga kucing rakan-rakan yang balik bercuti secara sukarela tanpa mengenakan sebarang bayaran kerana meminati bintang manja itu.

Ketika itu, menurut beliau, ada pemilik kucing yang baik hati menghadiahkan barangan keperluan kucing seperti makanan dan pasir kepadanya. Namun, ada juga sebilangan daripada mereka yang tidak memberikan apa-apa.

'Hotel For Cats' sediakan 60 bilik bermacam saiz untuk kucing selain makanan dan keperluan lain haiwan peliharaan itu. (Gambar: Hotel For CATS (Melaka)/Facebook)

“Daripada saat itulah, saya dan isteri mendapat idea untuk menawarkan perkhidmatan menjaga kucing secara separuh masa dengan bayaran serendah RM2.00 bagi mencari duit poket,” ujar Encik Akram.

Anak jati Kota Baharu, Kelantan, itu berkata beliau mula serius dalam perniagaan apabila mendaftarkan perniagaan tersebut pada 2011 selepas menamatkan pengajian di MMU.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Kepujian) (Kecerdasan Buatan) MMU itu berkata mulai detik itulah, beliau memulakan perniagaan hotel kucing serta menawarkan jualan pelbagai jenis makanan, barangan keperluan penjagaan serta aksesori di samping khidmat membersihkan dan merapikan kucing.

Selain itu, beliau juga menjual kucing yang diimport dari negara luar seperti Ukraine dan Rusia sekiranya terdapat permintaan daripada pelanggan.

Encik Akram berkata setakat ini, 'Hotel For Cats' mempunyai sebanyak 60 bilik khas buat kucing dan beliau bercadang untuk memperluaskan lagi perniagaannya pada masa kelak.

“Saya berhasrat untuk mengembangkan ‘Hotel For Cats’ sebagai ‘one-stop center’ (pusat sehenti) yang menawarkan pelbagai perkhidmatan dan keperluan untuk kucing,” katanya.

TEMPAHAN BILIK HOTEL KUCING SUDAH PENUH WAKTU RAYA

Sementara itu, Encik Akram berkata bilik-bilik hotel kucing di kedainya sempena Aidilfitri sudahpan ditempah penuh sejak awal Ramadan lagi dan beliau terpaksa menolak sebarang tempahan selepas itu.

'Hotel For Cats' sediakan 60 bilik bermacam saiz untuk kucing selain makanan dan keperluan lain haiwan peliharaan itu. (Gambar: Hotel For CATS (Melaka)/Facebook)

Encik Akram berkata kadar bayaran yang dikenakan adalah sekitar RM8.00 (S$2.60) sehari untuk anak kucing dan sekitar RM36.00 (S$11.80) sehari bagi bilik jenis apartmen yang boleh memuatkan tiga ekor kucing tidak termasuk keperluan makanan dan pasirnya.  

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan