Images
  • honestbee
    Kedai runcit Honestbee. (Gambar: Facebook/honestbee) 

Honestbee berhentikan 38 pekerja di S'pura; sebahagian penyusunan semula syarikat

SINGAPURA: Honestbee memberhentikan 38 pekerja sebagai sebahagian daripada proses penyusunan semula syarikat pemula itu.

Dalam satu pengumuman hari ini (2 Ogos), syarikat itu menyatakan pihaknya sudah membuat permohonan di Mahkamah Tinggi untuk memulakan proses penyusunan semula yang diselia mahkamah, sedang syarikat itu meminta moratorium atau penangguhan terhadap sebarang tindakan guaman yang mungkin diambil oleh para pemiutang.

Syarikat itu masih berhutang lebih AS$180 juta (S$248 juta).

"Honestbee mengambil langkah ini untuk melindungi dan menjaga nilai perniagaannya sedang penyusunan semula dilakukan terhadap operasi-operasi syarikat di seluruh Asia," menurut Honestbee.

"Langkah ini penting untuk memastikan Honestbee mempunyai struktur yang betul bagi kestabilan dan kejayaan jangka panjang."

Honestbee mengumumkan pada Mei lalu bahawa khidmat penghantaran makanan dan cuci pakaian sudah dihentikan sebagai sebahagian daripada semakan strategik perniagaan.

Ini menjejas sekitar 400 kakitangan penghantaran, dengan ramai daripada mereka bekerja secara sambilan.

Hari ini, Honestbee menyatakan 38 pekerja dihentikan, dengan kebakanyakan daripada mereka adalah dari bahagian operasi dan kejuruteraan.

"Pemberhentian mereka tidak mencerminkan prestasi mereka tetapi lebih kepada penyusunan semula operasi perniagaan kami di sini. Langkah itu penting bagi memastikan syarikat mempunyai struktur yang betul bagi kestabilan dan kejayaan jangka panjang," kata seorang jurucakap semasa menjawab soalan-soalan yang diajukan Mediacorp. 

- CNA/RU/ru

Top