Images
  • highpoint
    (Gambar: CBRE)

HighPoint di Orchard Road mula dijual pada harga S$550 juta

SINGAPURA: Tapak pegangan kekal (freehold) HighPoint dekat Orchard Road akan dijual pada harga S$550 juta menerusi tender awam. Demikian diumumkan syarikat hartanah CBRE pada Isnin (7 Jan) menerusi kenyataan medianya.

Terletak di 30 Mount Elizabeth Road, HighPoint terdiri daripada 57 unit apartmen dan dua 'penthouse'. Lokasinya di tapak seluas 47,606 kaki persegi di puncak Mount Elizabeth.

Tapak tersebut juga terletak berdekatan dengan kawasan beli-belah Orchard Road dan bangunan-bangunan premium lain seperti The Ritz Carlton Residences dan hotel-hotel seperti Hotel Goodwood Park.

Lebih 80 peratus pemilik sudah menandatangani Perjanjian Penjualan Bersama, menurut CBRE.

Menurut CBRE, harga panduan bagi HighPoint adalah S$550 juta atau S$2,595 berdasarkan nisbah saiz plot bagi setiap kaki persegi (ppr). Jika diambil kira 7 peratus bonus keluasan lantai kasar bagi balkoni, harga tanah dianggarkan sekitar S$2,509 sekaki persegi setiap ppr.

Menurut pelan induk Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) 2014, tapak itu disenaraikan di bawah zon "Kediaman" dengan ketinggian sehingga 36 tingkat. Keluasan kasar tapak berkenaan adalah sekitar 211,976 kaki persegi.

Tapak tersebut juga boleh menempatkan sehingga 196 unit kediaman pada saiz purata 100 meter persegi bagi setiap unit apartmen, tambah CBRE.

Pengarah eksekutif pasaran modal CBRE Galven Tan berkata syarikat tersebut menerima maklum balas positif daripada "beberapa pemaju asing".

"Tapak dengan ciri-ciri seperti HighPoint jarang sekali ditawarkan. Dengan ketinggian sehingga 36 tingkat, ia berpotensi menawarkan pemandangan panoramik yang luas terbentang termasuk kehijauan Goodwood Hill dan latar langit CBD."

Beliau menambah: "Pada harga S$2,595 ppr (tanpa mengambil kira balkoni), tapak ini dijual pada harga yang menarik. Secara keseluruhannya bekalan bagi segmen pasaran sangat mewah amat terhad, dan kami yakin minat dan harga akan kekal kukuh."

Tender awam bagi HighPoint akan ditutup jam 3.00 petang pada 26 Februari, menurut kenyataan itu lagi.

- CNA/TQ/tq

Top