Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Heng Swee Keat seru pengusaha jadi 'penyelia baik masa depan'

Para pemimpin perniagaan mesti melabur dari segi daya inovasi, tenaga manusia dan masyarakat untuk menjadi "penyelia baik masa depan kita," kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Selasa (4 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 04 Jun 2019 03:45PM Dikemas Kini : 04 Jun 2019 11:15PM

SINGAPURA: Para pemimpin perniagaan mesti melabur dari segi daya inovasi, tenaga manusia dan masyarakat untuk menjadi "penyelia baik masa depan kita," kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Selasa (4 Jun).

Dalam ucapannya di Meja Bundar Penyeliaan Asia, Encik Heng menggariskan tiga trend sejagat yang boleh membawa kesan kepada cara para pemimpin membimbing syarikat mereka: Kemunculan dan penemuan pesat teknologi baru, sokongan yang semakin berkurangan terhadap globalisasi dan kepentingan ekonomi dan strategik Asia yang meningkat.

Trend pertama mengenai teknologi baru membawa potensi untuk menyelesaikan masalah-masalah dunia yang paling terdesak hari ini, seperti perubahan iklim dan penjagaan kesihatan, kata Encik Heng.

"Namun, kemajuan teknologi juga membawa cabaran-cabaran lain, seperti perubahan pekerjaan dan jurang digital yang kian meluas antara mereka yang 'mengetahui' dan yang 'tidak mengetahui' tentang teknologi," ujar Encik Heng.

Menyentuh tentang pengurangan sokongan terhadap globalisasi pula, Encik Heng berkata, manfaat yang diraih daripada globalisasi tidak dikongsi dengan sama rata. Ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dengan China misalnya menunjukkan dengan jelas trend itu, menurut Encik Heng.

Encik Heng juga berkata para peserta di Persidangan Nikkei yang beliau hadiri minggu lalu, mengiktiraf potensi Asia dan kepentingannya yang kian meningkat.

MENJADI PENYELIA YANG BAIK

Memandangkan trend-trend tersebut mempunyai kesan terhadap cara para pemimpin perniagaan membimbing syarikat-syarikat mereka, Encik Heng berkongsi tiga cara untuk terus menjadi penyelia yang baik: Melabur dari segi daya inovasi, tenaga manusia dan masyarakat.

Encik Heng berkata sedang teknologi bertambah maju dan kepentingan ekonomi dan strategik Asia semakin penting, rangkaian-rangkaian bekalan akan berubah dan syarikat-syarikat mesti bertindak pantas untuk kekal relevan dan berdaya saing.

"Syarikat-syarikat perlu berusaha untuk memahami perkembangan baru dalam teknologi dalam bidang masing-masing, menilai bagaimana ia boleh disesuaikan dan disepadukan dalam amalan perniagaan sedia ada dan mencipta nilai baru," saran Encik Heng.

Beliau menambah sedang syarikat-syarikat hari ini bersaing dari segi idea-idea dan pembangunan produk-produk dan perkhidmatan baru, ada keperluan untuk mengubah pekerjaan dan proses kerja.

Lantaran itu, para pekerja berpeluang untuk mendapat gaji lebih tinggi daripada pekerjaan lebih baik yang dapat meningkatkan mutu kehidupan mereka.

Para pemimpin syarikat boleh memudahkan proses itu dengan membantu para pekerja untuk mempelajari kemahiran baru dan Pemerintah sedang menggandakan usaha tersebut.

Sebagai contoh, Encik Heng, yang juga Menteri Kewangan Singapura, berkata, beliau mengumumkan semasa pembentangan Belanjawan tahun ini bahawa Pemerintah akan membelanjakan S$3.6 bilion sepanjang tiga tahun akan datang untuk membantu para pekerja memajukan diri di tengah-tengah perubahan ekonomi.

Insiatif-inisiatif seperti SkillsFuture dan Program Penukaran Profesional sudah membantu para pekerja mempelajari kemahiran-kemahiran baru dan relevan, kata Encik Heng.

Akhir sekali, ada keperluan bagi syarikat-syarikat untuk membuat pelaburan dalam masyarakatnya yang lebih luas. Beliau menggesa para pemimpin untuk tidak hanya mendapatkan pekerja mereka untuk melakarkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSP) yang berkesan dan mampan, tetapi mereka juga patut menggalakkan pekerja mereka untuk giat menyertai program-program itu kerana ia penting untuk menggalakkan sikap murah hati dalam pertubuhan mereka.

Bagi pihak Pemerintah, ia melancarkan gerakan SG Cares untuk menggalakkan kesukarelawanan dan kelakuan berbuat baik sehari-hari di Singapura, tambah Encik Heng.

"Penyeliaan pada dasarnya adalah penciptaan nilai yang bertanggungjawab dan bermakna pada jangka panjang," kata Encik Heng. "Tumpuan terhadap jangka panjang adalah penting, lebih-lebih lagi apabila perubahan berlaku dengan lebih pesat."

"Tumpuan bukan hanya terhadap syarikat, tetapi manfaat kepada masyarakat lebih luas." 

Sumber : CNA/ZM/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan