Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Hasil rundingan kemajuan besar bagi RCEP, pendirian India dihormati

Hasil rundingan berdasarkan teks dalam kalangan 15 daripada 16 negara menandakan "langkah kemajuan besar" bagi Perkongsian Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP), kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Isnin malam (4 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Hasil rundingan kemajuan besar bagi RCEP, pendirian India dihormati

Perdana Menteri Lee Hsien Loong bercakap dengan para wartawan pada 4 Nov (Gambar: Matthew Mohan)

Diterbitkan : 05 Nov 2019 12:31AM Dikemas Kini : 05 Nov 2019 12:35AM

BANGKOK: Hasil rundingan berdasarkan teks dalam kalangan 15 daripada 16 negara menandakan "langkah kemajuan besar" bagi Perkongsian Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP), kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Isnin malam (4 Nov).

Berucap di hujung Sidang Puncak ke-35 ASEAN, PM Lee berkata dengan penyertaan 15 negara, perjanjian itu adalah sesuatu yang besar.

Beliau turut berkata beliau faham keputusan India untuk tidak turut serta "buat masa ini".

"Sayang sekali India belum turut serta buat masa ini, kami berharap pihaknya suatu hari akan turut serta. Bagaimanapun, ini adalah langkah kemajuan besar bagi RCEP - kemajuan besar yang patut kita ucapkan terima kasih kepada perunding dari semua negara," kata Encik lee.

"Kita faham pendirian India. India menyatakannya dengan terang, (Perdana Menteri) Modi menzahirkannya dengan terus terang.

"Dan tiada keresahan atau rasa tidak senang ... Kita fahami sepenuhnya sudut pandangan India. Mereka sudah membuat keputusan. Kita hormati keputusan itu," tambah beliau.

"Kita berharap satu hari nanti akan menjadi kenyataan, sama ada kerana kita dapat mengatasi isu khusus yang belum ditangani atau India mengambil sudut pandangan berbeza, (untuk kita semua) berhimpun dan India akan menyertai kumpulan itu," kata Encik Lee.

"Jika boleh, ia diharapkan berlaku menjelang tahun depan supaya semua dapat menandatangani (perjanjian itu)," tambah beliau lagi.

PM Lee menerangkan, isu mengenai akses pasaran serta sesetengah "butiran teknikal" menyebabkan India tidak bersetuju dengan perjanjian itu.

16 negara di bawah RCEP membentuk sepertiga hasil dalam negeri kasar global dan hampir separuh penduduk dunia.

RCEP terdiri daripada 10 anggota ASEAN serta China, Korea Selatan, Jepun, India, Australia dan New Zealand.

Satu dorongan baru untuk menyempurnakan apa yang akan menjadi perjanjian perdagangan terbesar dunia, terbit daripada perang perdagangan antara Amerika Syarikat dengan China. Pertikaian kedua-dua ekonomi itu memperlahankan kadar pertumbuhan ekonomi serantau ke tahap paling perlahan dalam tempoh lima tahun.

Jika India akhirnya enggan menyertai RCEP, setiap negara lain akan perlu menilai "kemungkinan yang boleh dilaksana", kata PM Lee.

Meskipun dalam situasi sebegitu, "RCEP X(dengan apapun jumlah negara) adalah lebih baik daripada RCEP 0," tambah beliau.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan