Images
  • manufacturing
    (Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

Hasil pengilangan S'pura tumbuh 7.6%; ikut rentak lebih perlahan pada Mac

SINGAPURA: Hasil pengilangan Singapura naik 7.6 peratus pada bulan Mac berbanding tempoh yang sama setahun lalu. Ia juga sekali gus adalah pertumbuhan buat lima bulan berturut-turut, meskipun pada rentak yang lebih perlahan berbanding beberapa bulan sebelum ini.

Pertumbuhan pada Mac itu dicatatkan menyusuli pengembangan 16.5 peratus pada Februari berbanding setahun lalu, menurut data rasmi yang dikeluarkan hari ini (26 Apr).

Tidak termasuk pengilangan bioperubatan, pengeluarannya tumbuh 14.9 peratus pada Mac.

ELEKTRONIK, KIMIA PACU PERTUMBUHAN

Kelompok utama elektronik memacu pertumbuhan 33.7 peratus pada Mac berbanding setahun lalu.

Peningkatan itu didorong oleh pertumbuhan dalam segmen semikonduktor yang berkembang 37.8 peratus, disokong oleh permintaan daripada khidmat-khidmat pengkomputeran awan, pusat-pusat data dan pasaran 5G, menurut Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB).

Segmen persisian komputer dan segmen penyimpanan data juga tumbuh 27.4 peratus.

Kelompok-kelompok lain yang turut menyaksikan pertumbuhan termasuk kimia, yang meningkat 9.5 peratus dan kejuruteraan jitu yang naik 5.6 peratus.

MENGUNCUP: BIOPERUBATAN, KEJURUTERAAN PENGANGKUTAN, PENGILANGAN AM

Pengeluaran bioperubatan pula menguncup 6.6 peratus pada Mac berbanding setahun lalu dan ia jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan kenaikan 22.1 peratus yang dicatatkan pada Februari.

Segmen teknologi perubatan tumbuh 23.3 peratus dengan permintaan lebih tinggi bagi peralatan perubatan. Bagaimanapun, segmen farmaseutikal menguncup 9.6 peratus dengan pengeluaran produk-produk biologi yang lebih rendah.

Kelompok kejuruteraan pengangkutan juga terus merosot, menguncup 20.6 peratus pada Mac berbanding tempoh yang sama setahun lalu.

Kelompok pengilangan am pula merosot lebih perlahan, pada -0.5 peratus.

Berdasarkan penyesuaian musiman dari bulan ke bulan, hasil pengilangan susut 1.7 peratus pada Mac.

Tidak termasuk pengilangan bioperubatan, pengeluarannya merosot 3.2 peratus.

- CNA/NK/nk

Top