Images
  • factory
    (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

Hasil pengilangan S'pura tumbuh 16.4% pada Feb

SINGAPURA: Hasil pengilangan Singapura tumbuh 16.4 peratus pada Februari berbanding tempoh yang sama setahun lalu, menurut kenyataan media Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) hari ini (26 Mac).

Tidak termasuk hasil pengeluaran bioperubatan, hasil pengilangan meningkat 13.6 peratus.

Pengilangan sektor elektronik mencatat peningkatan sebanyak 30.3 peratus pada Februari berbanding setahun lalu, dengan sebahagian besarnya dipacu oleh pertumbuhan pada segmen semikonduktor serta segmen infokom dan elektronik pengguna yang masing-masing mencatatkan pertumbuhan 36.5 peratus dan 5.7 peratus.

Pertumbuhan sektor semikonduktor khususnya, didorong oleh permintaan dari pasaran-pasaran 5G dan asas pengeluaran yang rendah setahun yang lalu.

Pengilangan bioperubatan meningkat 23.9 peratus berbanding setahun lalu.

Hasil pengeluaran farmaseutikal naik 16.7 peratus sementara segmen teknologi perubatan mencatat pertumbuhan 12.6 peratus, sejajar dengan permintaan eksport lebih tinggi bagi alat-alat perubatan.


Hasil pengeluaran sektor kejuruteraan jitu meningkat 15 peratus pada Februari berbanding setahun lalu.

Segmen mesin dan sistem berkembang 23.5 peratus, didorong oleh permintaan rancak bagi peralatan semikonduktor, manakala segmen modul dan komponen merosot 4.5 peratus sejajar dengan penghasilan acuan cetakan, peralatan, jig dan perkakas pasang siap.

Sementara itu, pengilangan sektor kejuruteraan pengangkutan menguncup 24.2 peratus pada Februari tahun ini berbanding tempoh yang sama setahun lalu.

Meskipun segmen pengangkutan darat berkembang lebih 20.3 peratus, hasil pengeluaran segmen kejuruteraan marin dan luar pesisir serta aeroangkasa masing-masing mengalami kemerosotan 23 dan 32.1 peratus.

Tahap kegiatan di limbungan kapal dan syarikat-syarikat aeroangkasa kekal rendah sedang permintaannya masih terjejas oleh pasaran minyak dan gas global yang lemah, sedang sekatan-sekatan perjalanan terus dikuatkuasakan. 

- CNA/ZM/na

Top