Images
  • welding singapore
    Sebuah kilang besi di Singapura (Gambar: Reuters)

Hasil pengilangan S'pura naik 7.6% pada Nov

SINGAPURA: Hasil pengilangan Singapura naik 7.6 peratus pada November berbanding tempoh yang sama setahun lalu. Peningkatan itu dipacu oleh pengeluaran farmaseutikal serta pertumbuhan kukuh dalam kelompok kejuruteraan marin dan luar pesisir, menurut Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) hari ini (26 Dis).

Tidak termasuk pengilangan bioperubatan, hasil pengeluaran meningkat 5.3 peratus.

Berdasarkan penyesuaian musiman dari bulan ke bulan, hasil pengilangan meningkat 2.8 peratus. Hasil pengilangannya tidak berubah jika pengeluaran bioperubatan dikecualikan.

Hasil pengilangan bagi kelompok bioperubatan melonjak 18.5 peratus pada November berbanding setahun lalu. Pengeluaran farmaseutikal berkembang 23.9 peratus, dengan penghasilan bahan aktif farmaseutikal dan produk biologi yang lebih tinggi, menurut kenyataan EDB. Segmen teknologi perubatan tumbuh 6.6 peratus.

Pengeluaran kelompok bioperubatan naik 8.1 peratus, berbanding tempoh yang sama pada 2017.

Sektor kejuruteraan pengangkutan naik 11.3 peratus berbanding setahun lalu, dengan pengeluaran semua segmen mencatat pertumbuhan.

EDB menambah, pengeluaran elektronik tumbuh 11.2 peratus berbanding setahun lalu,dengan segmen semikonduktor, infokom dan elektronik pengguna dan modul elektronik serta komponen elektronik lain masing-masing meningkat 16.5 peratus, 12.6 peratus dan 3 peratus.

Pengeluaran kumulatif bagi kelompok tersebut tumbuh 9.5 peratus bagi tempoh Januari hingga November, berbanding tempoh yang sama setahun lalu. Ini meskipun segmen penyimpanan data dan peranti persisian komputer mengalami kemerosotan.

Kelompok kimia pula mencatat pertumbuhan pengeluaran sebanyak 3.4 peratus berbanding tahun lalu. Kenaikan ini dipacu sebahagiannya oleh pertumbuhan pada segmen kimia dan kimia khusus lain yang masing-masing naik 18.7 peratus dan 6.6 peratus. Pengeluaran lebih tinggi bagi bahan wangian membantu pertumbuhan segmen kimia lain, manakala segmen kimia khusus mencatat pertumbuhan lebih tinggi bagi pengeluaran gas perindustrian dan tambahan minyak galian, menurut EDB.

Meskipun demikian, penutupan bagi kerja-kerja penyenggaraan menyebabkan penguncupan 5.3 peratus dan 10.9 peratus bagi segmen petroleum dan petrokimia.

Secara keseluruhannya, pengeluaran kelompok kimia tumbuh 5.4 peratus bagi 11 bulan pertama tahun ini, berbanding tempoh sama setahun lalu.

Segmen pengilangan am mengalami kemerosotan 0.8 peratus berbanding setahun lalu. Segmen pencetakan jatuh 11 peratus, meskipun industri makanan, minuman dan tembakau serta perusahaan aneka jenis masing-masing mencatat pertumbuhan 1 peratus dan 0.3 peratus.

Pengeluaran kelompok secara keseluruhannya antara Januari hingga November naik 0.7 peratus berbanding tempoh sama setahun lalu.

Segmen kejuruteraan jitu jatuh 8.2 peratus pada November.

Sungguhpun demikian, kelompok tersebut mencatat pertumbuhan 5.6 peratus dalam 11 bulan pertama tahun ini,berbanding tempoh sama pada 2017.

- CNA/TQ/tq

Top