Images
  • pengilangan
    (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Hasil pengilangan S'pura naik 2.7% pada Disember

SINGAPURA: Hasil pengilangan Singapura naik 2.7 peratus pada Disember berbanding tempoh yang sama setahun sebelumnya, sekali lagi dipacu oleh peningkatan besar hasil pengeluaran farmaseutikal. Demikian menurut data yang dikeluarkan oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi hari ini (25 Jan).

Bagaimanapun, ramalan median dalam tinjauan Reuters melibatkan 11 pakar ekonomi menjangkakan pertumbuhan 4.4 peratus. Peningkatan itu juga lebih lembab berbanding pertumbuhan 7.6 peratus dari tahun ke tahun yang dicatatkan pada November.

Tidak termasuk penghasilan bioperubatan, hasil pengeluaran susut 1.8 peratus.

Selepas penyesuaian musiman dari bulan ke bulan, pengeluaran perindustrian jatuh 5.6 peratus berbanding pertumbuhan 3.1 peratus pada November.

Secara keseluruhannya, hasil pengeluaran bagi 2018 meningkat 7.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pengeluaran farmaseutikal melonjak 41.2 peratus pada Disember, sekali gus membantu memacu pengeluaran bioperubatan untuk melonjak 29.9 peratus.

Pengeluaran kejuruteraan pengangkutan meningkat 23.7 peratus, dengan segmen kejuruteraan marin dan luar pesisir melonjak 31.8 peratus. Segmen aeroangkasa juga meningkat 22.3 peratus sedang kegiatan pembaikan dan penyenggaraan bagi syarikat-syarikat penerbangan komersil meningkat.

Pengeluaran bahan kimia pula susut 1.4 peratus meskipun segmen kimia khas tumbuh 8.5 peratus. Bagaimanapun, pengeluaran bahan kimia lain turun 2.3 peratus manakala petrokimia merosot 10.6 peratus disebabkan oleh pemberhentian penyenggaraan.

Hasil pengeluaran umum turun 5.7 peratus, sebahagian besarnya disebabkan oleh penguncupan 7.2 peratus dalam pengeluaran bagi segmen pencetakan serta makanan, minuman dan tembakau, yang jatuh 9.6 peratus disebabkan oleh pengeluaran produk minuman lebih rendah.

Pengeluaran elektronik pula jatuh 6.8 peratus manakala hasil kejuruteraan jitu susut 8.7 peratus, dengan peralatan jitu dan komponen mencatat kemerosotan 26.1 peratus. 

- CNA/AI/ai

Top