Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Hasil pengilangan S'pura merosot 8.4% pada Julai

Hasil pengilangan Singapura terus menguncup pada Julai, dengan permintaan merosot bagi kebanyakan kelompok kecuali kejuruteraan jitu, demikian menurut kenyataan media oleh Lembaga Pembangunan Ekonomi (EDB) pada Rabu (26 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 26 Aug 2020 04:53PM Dikemas Kini : 26 Aug 2020 09:06PM

SINGAPURA: Hasil pengilangan Singapura terus menguncup pada Julai, dengan permintaan merosot bagi kebanyakan kelompok kecuali kejuruteraan jitu, demikian menurut kenyataan media oleh Lembaga Pembangunan Ekonomi (EDB) pada Rabu (26 Ogos).

Hasil pengeluaran perusahaan merosot 8.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, melanjutkan trend penguncupan yang disemak semula pada Jun sebanyak 6.5 peratus.

Tidak termasuk pengeluaran bioperubatan, hasil pengeluaran merosot sebanyak 5.2 peratus.

Berdasarkan penyesuaian musiman, hasil pengilangan naik 1.6 peratus. Tidak termasuk pengeluaran bioperubatan, hasil pengeluaran tumbuh 10 peratus.

COVID-19 TERUS JEJAS PENGELUARAN

Kejuruteraan pengangkutan mencatat kejatuhan tertinggi iaitu sebanyak 39.8 peratus dengan kesemua bahagian mencatat kemerosotan.

Segmen aeroangkasa kekal lemah kerana jumlah kerja pembaikan pesawat dan penyenggaraan yang kekal rendah di tengah-tengah pandemik COVID-19, menurut EDB.

Segmen kejuruteraan marin dan lepas pantai menguncup 58.7 peratus sedang sekatan pergerakan terhadap pekerja asing di dormitori terus menjejas dengan teruk kegiatan di limbungan, tambah EDB.

Bagi kelompok pengilangan bioperubatan, hasil pengeluaran merosot 24.8 peratus pada Julai berbanding tempoh yang sama pada 2019.

Hasil pengeluaran bagi kelompok elektronik juga merosot, jatuh 1.4 peratus pada Julai berbanding tahun lalu, setelah mencatat pertumbuhan 17.8 peratus pada Jun.

Kelompok kimia juga mencatat kemerosotan sebanyak 2.4 peratus berbanding tahun lalu. Segmen petrokimia tumbuh 11.5 peratus namun segmen-segmen lain mencatat kemerosotan.

Sementara itu, hasil pengeluaran am pula menguncup 22.2 peratus pada Julai berbanding tahun lalu, dengan kesemua segmen mencatat kemerosotan.

Segmen makanan, minuman dan tembakau jatuh 9.8 peratus disebabkan oleh pengeluaran produk susu tepung dan minuman yang lebih rendah. Segmen perusahaan percetakan dan aneka pula masing-masing merosot 18.8 peratus dan 38.7 peratus, dengan sektor aneka perusahaan terjejas oleh hasil pengeluaran produk berkaitan binaan lebih rendah.

KELOMPOK KEJURUTERAAN JITU CATAT PERTUMBUHAN

Sementara itu, kelompok kejuruteraan jitu mencatat kenaikan pengeluaran 9.3 peratus pada Julai berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Segmen sistem dan jentera meningkat 20.4 peratus dipacu oleh pengeluaran peralatan semikonduktor yang lebih tinggi.

Namun, segmen modul dan komponen jitu merosot 14.7 peratus disebabkan oleh pengeluaran produk optik yang lebih rendah. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan