Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Hasil pengilangan S'pura bangkit semula pada Ogos; tumbuh 13.7%

Hasil pengilangan Singapura bangkit semula pada Ogos setelah menguncup selama tiga bulan, didorong oleh pengeluaran elektronik dan peningkatan pada hampir kesemua kecuali dua kelompok.

Anggaran Waktu Membaca:
Hasil pengilangan S'pura bangkit semula pada Ogos; tumbuh 13.7%

Para pekerja pengilangan di Singapura. (AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 25 Sep 2020 03:07PM Dikemas Kini : 25 Sep 2020 03:09PM

SINGAPURA: Hasil pengilangan Singapura bangkit semula pada Ogos setelah menguncup selama tiga bulan, didorong oleh pengeluaran elektronik dan peningkatan pada hampir kesemua kecuali dua kelompok.

Hasil pengeluaran perindustrian tumbuh 13.7 peratus pada Ogos berbanding setahun lalu, menurut Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) dalam kenyataan medianya pada Jumaat (25 Sep). Pengeluaran merosot pada kadar yang sudah disemak semula iaitu 7.6 peratus pada Julai, 6.4 peratus pada Jun dan 8.3 peratus pada Mei.

Tidak termasuk pengilangan bioperubatan, hasil pengeluaran meningkat 15.3 peratus, menurut EDB.

Berdasarkan penyesuaian musiman dari bulan ke bulan, pengeluaran kilang tumbuh 13.9 peratus pada bulan lalu. Tidak termasuk pengilangan bioperubatan, pengeluaran naik 4.8 peratus.

HASIL PENGELUARAN BAGI KEBANYAKAN KELOMPOK BERKEMBANG PADA OGOS

Menurut EDB, hasil pengeluaran bagi sebahagian besar kelompok meningkat pada Ogos, kecuali untuk pengilangan am dan kejuruteraan pengangkutan, yang terjejas teruk akibat COVID-19.

Kelompok elektronik mencatatkan peningkatan terbesar pada Ogos, dengan hasil pengeluarannya melonjak 44.2 peratus berbanding setahun lalu.

Pertumbuhan ini, menurut EDB, "sebahagian besarnya didorong" oleh segmen semikonduktor, yang meningkat 56.9 peratus di tengah-tengah permintaan daripada khidmat pengkomputeran awan, pusat data dan pasaran 5G.

Namun berbeza bagi segmen infokom dan elektronik pengguna serta peranti persisian dan segmen penyimpanan data yang mengalami kemerosotan.

Kelompok kejuruteraan jitu berkembang 9.4 peratus bulan lalu berbanding tempoh yang sama setahun lalu.

Segmen mesin dan sistem tumbuh 17 peratus menyusuli hasil pengeluaran yang lebih tinggi bagi peralatan semikonduktor. Bagaimanapun, modul kejituan dan segmen komponen susut 4.3 peratus, menurut EDB.

Bagi kejuruteraan bioperubatan, hasil pengeluarannya naik 8.4 peratus bulan lalu berbanding tempoh yang sama pada 2019.

Segmen teknologi perubatan tumbuh 19.3 peratus dengan permintaan eksport yang lebih tinggi bagi peralatan perubatan, sementara pengeluaran farmaseutikal naik 5.7 peratus disebabkan oleh pengeluaran produk biologi yang lebih tinggi.

Kelompok kimia tumbuh 3.1 peratus pada Ogos berbanding setahun lalu, dengan sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan pada segmen khusus dan petrokimia.

Namun segmen kimia dan petroleum lain mengalami kemerosotan ekoran penutupan loji bagi kerja-kerja penyenggaraan dan tempahan eksport yang lebih rendah di tengah-tengah pandemik COVID-19, dedah EDB.

KELOMPOK PENGILANGAN AM, KEJURUTERAAN PENGANGKUTAN MENGUNCUP

Kelompok pengilangan am menguncup 18.6 peratus pada Ogos berbanding bulan yang sama 12 bulan yang lalu, dengan semua segmen mengalami penurunan.

Segmen makanan, minuman dan tembakau jatuh 13.8 peratus, dengan sebahagiannya disebabkan oleh penutupan kilang bagi kerja-kerja penyenggaraan, sementara hasil percetakan jatuh 21.8 peratus, sedang COVID-19 menjejas tempahan. Segmen industri lain merosot 24.1 peratus disebabkan oleh pengeluaran yang lebih rendah bagi produk-produk berkaitan binaan.

Kelompok kejuruteraan pengangkutan turut menguncup. Pengeluarannya menjunam 36 peratus dari tahun ke tahun pada Ogos yang sebahagian besarnya disebabkan oleh tahap kegiatan yang lebih rendah dalam bidang aeroangkasa dan kejuruteraan marin dan luar pesisir, di mana penghasilan masing-masing merosot 34 peratus dan 50.7 peratus.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan