Images
  • Singapore Airlines SIA
    (Gambar: Calvin Oh)

Harga saham SIA, SATS melonjak selepas lebih banyak VTL diumumkan

SINGAPURA: Harga saham Singapore Airlines (SIA) naik sebanyak 9.6 peratus pada Isnin (11 Okt) selepas Singapura mengumumkan ia akan memperluaskan skim laluan perjalanan penumpang divaksin (VTL) untuk merangkumi lagi lapan negara.

Harga saham SIA meningkat ke paras tertinggi dalam sehari pada harga S$5.62 pada Isnin, dan diperdagangkan pada S$5.49 sekitar 2.55 petang, menurut Reuters.

Harga saham untuk penyedia khidmat bagasi dan katering penerbangan SATS turut melonjak, naik sebanyak 6.5 peratus ke paras tertinggi dalam sehari iaitu pada harga S$4.44.

Saham SIA meningkat dengan ketara "terutamanya disebabkan oleh sentimen positif berhubung pembukaan semula dan pelonggaran syarat-syarat ujian", menurut penganalisis DBS Paul Yong dan Jason Sum.

"Penyertaan lebih banyak negara di bawah skim VTL yang diumumkan pada hujung minggu lalu merangkumi destinasi percutian dan perniagaan yang penting seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Itali, yang merupakan pasaran-pasaran jarak jauh yang penting bagi SIA," menurut kedua-dua penganalisis itu.

Pada Sabtu, pihak berkuasa mengumumkan bahawa skim VTL akan diperluaskan untuk merangkumi Kanada, Denmark, Perancis, Itali, Belanda, Sepanyol, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Perkembangan itu didedahkan sehari selepas Singapura mengumumkan satu lagi VTL dengan Korea Selatan, selain laluan sedia ada dengan Brunei dan Jerman.

SIA menyatakan ia akan memperluaskan laluan penerbangan di bawah skim perjalanan bagi penumpang divaksin untuk merangkumi lagi sembilan bandar - Amsterdam, Barcelona, Copenhagen, London, Los Angeles, Milan, New York, Paris dan Rome - mulai 19 Oktober.

Syarikat penerbangan itu sudahpun menawarkan penerbangan di bawah VTL ke Bandar Seri Begawan di Brunei, serta Frankfurt dan Munich di Jerman. Ia juga akan menawarkan penerbangan dari Seoul bermula 16 November.

Syarikat penerbangan tambang murah, Scoot, yang merupakan anak syarikat di bawah SIA Group, juga akan menawarkan penerbangan di bawah VTL dari Berlin bermula 20 Oktober ini.

- CNA/TQ/tq

Top