Images
  • house
    Rumah privet di Singapura. (Gambar fail: Gaya Chandramohan)

Harga rumah privet terus meningkat pada suku ketiga tahun ini

SINGAPURA: Harga hartanah privet di Singapura terus meningkat pada suku ketiga 2019, setelah mencecah paras tertinggi dalam tempoh sekurang-kurangnya lima tahun berbanding suku sebelumnya.

Indeks hartanah privet menokok 1.3 peratus kepada 152.8 mata pada suku ketiga tahun ini, menurut perangkaan terbaru Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Jumaat (25 Okt).

Pada suku kedua, indeks tersebut naik 1.5 peratus kepada 150.8 mata, mengimbangi kemerosotan dua suku berturut-turut.

Pada suku ketiga pula, harga hartanah berhalaman naik 1 peratus setelah susut 0.1 peratus pada suku sebelumnya.

Sementara itu harga bagi segmen rumah tanpa halaman meningkat 1.3 peratus berbanding kenaikan 2 peratus pada suku sebelumnya. Hartanah di bahagian tengah bandar (CCR) mencatat kenaikan paling ketara sebanyak 2 peratus, disusuli dengan kawasan di sekelilingnya (RCR) pada 1.3 peratus dan luar kawasan tersebut (OCR) pada 0.8 peratus.

Pada suku ketiga, sewa hartanah privet naik sedikit iaitu 0.1 peratus, berbanding peningkatan 1.3 peratus yang diraih pada suku sebelumnya.

Sewa hartanah berhalaman susut 2.3 peratus berbanding kenaikan 0.3 peratus pada suku sebelumnya. Sewa bagi hartanah tanpa halaman mencatat kenaikan 0.4 peratus berbanding kenaikan 1.4 peratus pada suku kedua tahun ini.

Dalam kalangan hartanah tanpa halaman, sewa hartanah CCR mengalami kemerosotan 0.7 peratus, meskipun sewa bagi RCR dan OCR masing-masing mencatat peningkatan 1.6 peratus dan 0.8 peratus.

PELANCARAN DAN PENJUALAN

Antara Julai hingga September, para pemaju melancarkan 3,628 unit hartanah privet yang belum siap - tidak termasuk kondominium eksekutif (EC) - untuk dijual, berbanding dengan 2,502 unit yang dilancarkan pada suku sebelumnya.

Sebanyak 3,281 unit dijual, satu lonjakan berbanding 2,350 pada suku sebelumnya.

Para pemaju juga melancarkan 820 unit EC dan menjual 426 unit pada suku ketiga, peningkatan yang sangat ketara berbanding suku sebelumnya di mana para pemaju tidak melancarkan sebarang unit dan setakat menjual hanya 10 unit saja.

Dalam pasaran jualan semula, 2,378 urus niaga dicatatkan pada suku ketiga, berbanding 2,371 unit yang bertukar tangan pada suku sebelumnya.

Urus niaga jualan semula membentuk 41.3 peratus bagi kesemua urus niaga antara Julai hingga September, lebih rendah berbanding 49.7 peratus pada suku sebelumnya.

Setakat hingga hujung suku ketiga tahun ini, terdapat 50,964 rumah privet belum siap dan 3,722 unit EC yang perancangannya sudah diluluskan. Daripada jumlah tersebut, 34,089 unit masih belum terjual.

Berdasarkan tarikh siap yang dijangkakan oleh para pemaju, 3,235 unit rumah privet (termasuk EC) akan siap dibina menjelang hujung tahun ini dan lagi 5,750 unit dijadual siap pada 2020.

- CNA/TQ/tq

Top