Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Harga rumah privet S'pura naik lebih pantas pada kadar 1.1% suku ketiga tahun ini

Harga rumah privet di Singapura naik 1.1 peratus pada suku ketiga, tinggi sedikit berbanding anggaran awal yang dikeluarkan awal bulan ini. Secara keseluruhan harga perumahan privet naik buat enam suku berturut-turut, menurut seorang pengamat.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 22 Oct 2021 01:22PM Dikemas Kini : 22 Oct 2021 09:30PM

SINGAPURA: Harga rumah privet di Singapura naik 1.1 peratus pada suku ketiga, tinggi sedikit berbanding anggaran awal yang dikeluarkan awal bulan ini.

Indeks harga hartanah kediaman privet naik kepada 165.3 mata pada suku ketiga, meningkat daripada 163.5 mata pada suku kedua, menurut perangkaan hartanah yang dikeluarkan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Jumaat (22 Okt).

Harga dipacu penjualan rumah berhalaman, yang meningkat 2.6 peratus dalam tempoh Julai hingga September, berbanding penyusutan 0.3 peratus pada tiga bulan sebelumnya.

Harga hartanah tidak berhalaman naik 0.7 peratus, susut sedikit berbanding kenaikan 1.1 peratus pada suku sebelumnya.

Secara keseluruhan harga hartanah privet meningkat buat enam suku berturut-turut, kata Encik Lam Chern Woon, ketua penyelidikan dan perundingan di Edmund Tie.

Beliau berkata sebahagian besar kenaikan harga selama pandemik dipacu oleh segmen rumah berhalaman, "di mana kemewahaan ekonomi baru dan industri yang berkembang pesat" mendorong permintaan.

"Kami juga menyaksikan harga naik mendadak bagi rumah berhalaman kerana peningkatan modal atau pembangunan semula yang dilakukan sebelum penjualan," katanya.

PERMINTAAN JUALAN SEMULA

Kesemuanya, 9,083 hartanah perumahan privet bertukar tangan di merata Singapura pada suku ketiga tahun ini, dengan rumah jualan semula membentuk sebahagian besar iaitu 5,362 unit.

Jumlah penjualan semula suku tahunan itu yang tertinggi dicatatkan sejak suku ketiga 2009, apabila 5,809 unit sedemikian bertukar tangan, kata Cik Christine Sun, naib presiden kanan penyelidikan dan analitik di OrangeTee & Tie.

"Permintaan telah mengukuh bagi kedua-dua pasaran utama dan jualan semula," kata Cik Sun.

Menurutnya jumlah urus niaga hartanah jualan semula mungkin boleh naik seganda kepada sekitar 19,500 hingga 20,500 unit tahun ini berbanding 10,729 unit tahun lalu, di tengah-tengah permintaan yang lebih tinggi bagi hartanah jualan semula dan harga rumah baru yang meningkat.

Ini juga disebabkan bertambahnya pemilik flat HDB yang mahu berpindah ke pasaran jualan semula rumah privet di kawasan luar bandar memandangkan harganya lebih termampu selain bekalan rumah baru yang semakin susut, jelas Cik Sun.

Dalam segmen penjualan rumah baru pula, Cik Sun berkata urus niaga mungkin mencecah paras tertinggi dalam lapan tahun dengan sekitar 12,000 hingga 12,500 unit bertukar tangan tahun ini, dengan rekod sebelumnya pada 2013 adalah 14,948 unit.

"Melainkan berlakunya keadaan di luar jangkaan, harga keseluruhan mungkin mencapai 6 hingga 7 peratus tahun ini, lebih tinggi daripada 2.2 peratus pada 2020 dan 2.7 peratus pada 2019," tambahnya.

Secara keseluruhannya, pemaju hartanah melancarkan 2,149 rumah privet yang belum siap (tidak termasuk kondominium eksekutif) pada suku ketiga, berbanding 2,356 unit antara Julai dengan September. Mereka juga menjual 3,550 unit pada suku ketiga, berbanding 2,966 pada suku sebelumnya.

Bagi segmen kondominium eksekutif, pemaju melancarkan 496 rumah pada suku ketiga, berbanding 413 pada suku sebelumnya. Syarikat pemaju menjual 717 unit, berbanding 495 pada tempoh Julai hingga September.

PASARAN SEWA

Pasaran sewa menyaksikan pertumbuhan lebih perlahan pada suku ketiga tahun ini, naik 1.8 peratus, turun berbanding kenaikan yang dicatat pada suku sebelumnya sebanyak 2.9 peratus.

Ini didorong oleh segmen hartanah berhalaman, di mana sewa naik 4.7 peratus pada suku ketiga berbanding 1.4 peratus pada suku sebelumnya.

Kadar sewa bagi hartanah tidak berhalaman lebih perlahan, mencatat 0.7 peratus berbanding 3.1 peratus pada suku sebelumnya.

"Sedang Singapura meningkatkan usaha untuk membuka semula sempadan sepenuhnya, pasaran sewa siap untuk meraih manfaat apabila pengambilan pekerja meningkat dalam industri penerbangan, MICE, perhotelan dan pelancongan," kata Cik Sun.

"Permintaan sewa mungkin meningkat apabila lebih ramai warga Singapura, PR dan ekspatriat asing kembali, dan syarikat meningkatkan pengambilan kerja ekspatriat asing."

BEKALAN DIRANCANG

Setakat akhir suku ketiga, terdapat 47,715 unit perumahan privet yang belum selesai dan 4,718 unit EC kesemuanya dalam perancangan.

Daripada jumlah tersebut, 17,140 rumah privet dan 1,581 unit EC tidak terjual setakat hujung September.

"Pasaran hartanah akan berakhir tahun ini dengan catatan yang lebih tinggi. Sentimen pasaran mungkin meningkat lagi sedang ekonomi global dijangka akan bertambah baik tahun depan," kata Cik Sun.

"Pembukaan semula sempadan Singapura berkemungkinan akan mendorong pertumbuhan pekerjaan dan meningkatkan lagi ekonomi," katanya.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan