Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Harga rumah privet mungkin cecah S$2,900 psf jelang 2030

Jumlah penduduk Singapura dijangka mencecah antara 6.3 juta hingga 6.5 juta menjelang 2030. 

Anggaran Waktu Membaca:
Harga rumah privet mungkin cecah S$2,900 psf jelang 2030

Gambar fail TODAY.

Diterbitkan : 17 May 2018 11:32AM Dikemas Kini : 17 May 2018 11:35AM

SINGAPURA: Jumlah penduduk Singapura dijangka mencecah antara 6.3 juta hingga 6.5 juta menjelang 2030. Menurut satu laporan kajian yang dikeluarkan DBS semalam (16 Mei) harga rumah privet juga dianggarkan melonjak kepada antara S$2,300 hingga S$2,900 setiap kaki persegi (psf) pada waktu itu - kenaikan ketara berbanding S$1,500 psf sekarang.

Ini bermakna, kadar pertumbuhan kompaun tahunan antara 1.5 hingga 3.2 peratus pada 12 tahun mendatang, sedang pendapatan pemilik rumah perlu naik "sejajar" dengan kenaikan harga hartanah privet. Pengunjuran itu bermakna setiap unit hartanah privet berharga antara S$1.9 juta hingga S$2.5 juta menjelang 2030.

Laporan oleh penganalisis hartanah Derek Tan dan Rachel Tan juga meramalkan purata saiz unit privet baru menjadi semakin kecil - kepada 840 kaki persegi - iaitu 20 peratus lebih kecil berbanding 1,083 kaki persegi pada tahun lalu.

Penganalisis lain, bagaimanapun, berpendapat unjuran harga hartanah privet mungkin terlalu optimis dan mengatakan bahawa ia juga bergantung kepada keadaan ekonomi dan sosial pada tahun-tahun sebelum 2030.

Laporan DBS menjangkakan jumlah urus niaga tahunan bagi rumah privet kekal pada paras purata selama 12 tahun akan datang - mencecah antara 13,000 hingga 16,000 unit sehingga 2023, sebelum berkurangan kepada purata antara 12,000 hingga 13,500 unit.

Permintaan mungkin lebih tinggi, kata Encik Tan dan Cik Tan, yang tidak mengambil kira unit-unit yang dibeli rakyat asing. Sejak 2001 hingga 2017, purata tahunan kekal pada 12,000 unit.

Mereka yang sebelum ini memiliki flat HDB dan ingin membeli rumah privet adalah "pendorong utama" bagi permintaan lebih tinggi. Warga asing juga berpeluang untuk membeli hartanah privet. Ini akan menyebabkan jumlah urus niaga meningkat 10 peratus, kata penganalisis DBS itu. Pasangan baru turut dijangka menyumbang kepada permintaan untuk rumah-rumah privet.

Berdasarkan anggaran mereka, terdapat bekalan tanah mencukupi untuk membina tambahan 1.3 juta rumah. "Kementerian Pembangunan Negara (MND) melaksanakan pelan penggunaan tanah yang akan menampung pertumbuhan jangka panjang penduduk Singapura. Menurut Pelan Induk 2030, tambahan 3,000 hektar tanah akan disediakan bagi tujuan perumahan menjelang 2030." kata mereka.

Rumah-rumah yang disediakan akan mampu menampung 3.8 juta orang, berdasarkan anggaran, dan ini menunjukkan pemerintah mampu mengimbangkan pertumbuhan penduduk dengan bekalan rumah bagi memastikan pasaran hartanah kekal stabil.

Namun, risiko seperti pertumbuhan penduduk yang lembab, dasar-dasar imigresen, dan ketidakpastian makroekonomi berpotensi menjejas pasaran tersebut.

Permintaan dan harga hartanah "berkait rapat dengan prospek ekonomi dan sebarang gangguan ekonomi yang tidak dijangkakan akan mengakibatkan kadar pengangguran lebih tinggi atau pertumbuhan gaji lebih lembab, kenaikan harga yang lebih perlahan," kata mereka.

"Tambahan lagi, sektor itu mudah terjejas oleh penggubalan dasar yang mungkin mempunyai kesan terhadap permintaan hartanah." Dengan pertumbuhan penduduk lebih kecil, permintaan untuk rumah juga berkurangan.

Jika harga naik terlalu pantas - misalnya lebih 10 peratus dalam masa setahun - ia mungkin akan menggesa pemerintah untuk menimbangkan langkah-langkah mengawal pasaran. 

Sumber : Today/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan