Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Harga minyak mentah melonjak susulan kemudahan Saudi Aramco diserang

Harga minyak mentah Brent melonjak lebih daripada dua peratus hari ini (8 Mac) menyusuli serangan peluru berpandu ke atas kemudahan milik syarikat gergasi tenaga dunia, Aramco di Arab Saudi.

Anggaran Waktu Membaca:
Harga minyak mentah melonjak susulan kemudahan Saudi Aramco diserang

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 08 Mar 2021 12:08PM Dikemas Kini : 08 Mar 2021 12:10PM

HONG KONG: Harga minyak mentah Brent melonjak lebih daripada dua peratus hari ini (8 Mac) menyusuli serangan peluru berpandu ke atas kemudahan milik syarikat gergasi tenaga dunia, Aramco di Arab Saudi.

Kenaikan harga minyak juga disokong keyakinan terhadap tinjauan permintaan sedang ekonomi global semakin pulih.

Harga minyak melonjak 2.11 peratus kepada AS$70.82 (S$95.21)satu tong pada Isnin, paras tertinggi sejak Mei 2019.

Dalam kejadian yang dilaporkan semalam (7 Mac), pelabuhan minyak Arab Saudi diserang sebuah dron dan peluru berpandu yang menyasarkan kemudahan tenaga Aramco di timur negara itu.

Menurut kementerian pertahanan Saudi pihaknya berjaya memintas dan memusnahkan dron yang menyasarkan kawasan tangki minyak di Pelabuhan Ras Tanura di Wilayah Timur, antara pelabuhan minyak terbesar di dunia.

Dalam satu lagi kenyataan, kementerian itu menyatakan serangan peluru berpandu berkenaan juga musnah sebelum mencapai sasarannya di kemudahan Aramco di Dhahran, tempat tinggal ribuan pekerja syarikat tersebut dan keluarga mereka.

Serangan itu tidak menyebabkan
korban jiwa atau kerosakan serta tiada laporan siapa yang bertanggungjawab di sebalik serangan tersebut.

Bagaimanapun pemberontak Houthi Yaman mendakwa di Twitter mereka melancarkan dron dan peluru berpandu ke arah Ras Tanura dan sasaran ketenteraan di kawasan Dammam, berdekatan Dhahran.

Gabungan tentera pimpinan Arab Saudi pada awal Ahad melancarkan serangan udara di ibu kota Yaman, Sanaa yang dikuasai Houthi selepas memintas sejumlah dron dan peluru berpandu yang dilancarkan pemberontak disokong Iran.

Perkembangan itu menandakan peningkatan baru konflik enam tahun antara pemerintah Yaman dan pemberontak Houthi, biarpun gesaan pentadbiran Amerika Syarikat yang baru mahu menamatkan permusuhan.  

Sumber : AFP/Agensi/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan