Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Harga minyak, ekuiti terjejas dek kebimbangan virus Wuhan

Kebimbangan mengenai kesan virus korona Wuhan terhadap ekonomi global menyebabkan harga minyak merosot lebih 2 peratus pada Isnin (27 Jan), memanjangkan lagi tempoh penjualan minggu lalu, sedang aset-aset yang lebih selamat termasuk yen dan emas terus mengukuh.

Anggaran Waktu Membaca:
Harga minyak, ekuiti terjejas dek kebimbangan virus Wuhan
Diterbitkan : 27 Jan 2020 03:49PM Dikemas Kini : 27 Jan 2020 03:53PM

HONG KONG: Kebimbangan mengenai kesan virus korona Wuhan terhadap ekonomi global menyebabkan harga minyak merosot lebih 2 peratus pada Isnin (27 Jan), memanjangkan lagi tempoh penjualan minggu lalu, sedang aset-aset yang lebih selamat termasuk yen dan emas terus mengukuh.

Sedang angka korban akibat jangkitan virus korona dari China itu melonjak sehingga mencecah 80 orang dan jumlah yang dijangkiti virus berkenaan semakin menghampiri 3,000 di merata dunia, menurut para penganalisis yang berpendapat bahawa krisis kali ini mungkin seburuk penularan SARS yang melumpuhkan pasaran Asia pada 2003.

Penularan virus korona menyebabkan China menghadkan perjalanan di Wuhan - bandar yang didiami 11 juta penduduk dan tempat di mana penularan virus itu mula dikesan - selain sekatan perjalanan yang lebih ketat di bandar-bandar lain termasuk Beijing.

Stephen Innes dari AxiCorp memberi amaran bahawa kejutan pada ekonomi China dan global mungkin agak besar, sedang pertumbuhan lebih perlahan boleh dijangkakan.

"Ancaman terbesar kepada ekonomi global bukan setakat kerana penyakit ini boleh menular dengan pantas menerusi rangkaian yang berkaitan dengan perjalanan global," kata beliau dalam satu nota.

"Sebaliknya sebarang kejutan ekonomi terhadap industri-industri gergasi dan pembeli China yang begitu besar akan merebak dengan pantas ke negara-negara lain menerusi keterhubungan perdagangan dan kewangan yang dikaitkan dengan penyejagatan."

Beliau menambah: "Tidak seperti pada 2003, di mana SARS kurang menjejas pasaran-pasaran maju, kali ini bahagian-bahagian lain dunia akan terjejas dengan kesannya."

ASET LEBIH SELAMAT

Sekiranya virus baru itu mempunyai kesan yang sama ke atas China seperti SARS, kemerosotan itu mungkin lebih buruk daripada yang dijangkakan, kata Encik Innes, kerana penggunaan membentuk sebahagian besar ekonomi negara itu dan secara keseluruhannya unjuran pertumbuhannya lebih lemah.

Sebahagian besar pasaran serantau ditutup sempena cuti Tahun Baru Cina namun bursa Tokyo dibuka dan kemudian jatuh 1.9 peratus setakat sehingga tengah hari tadi. Wellington, Manila dan Jakarta turut mengalami kemerosotan.

Kontrak utama minyak jatuh lebih 2 peratus setelah merosot lebih 6 peratus minggu lalu ekoran kebimbangan terhadap kesan penularan virus Wuhan ke atas permintaan ekonomi kedua terbesar di dunia itu.

Penghijrahan pelaburan ke aset-aset yang lebih selamat menyebabkan nilai mata wang yen mengukuh berbanding dolar Amerika.

Emas, satu lagi aset yang menjadi pilihan semasa berlaku pergolakan, kini dijangka mencecah nilai AS$1,600 (S$2,167) dan paras tertinggi dalam tempoh enam tahun dicatatkan pada awal Januari.

Meskipun perhatian dunia kini tertumpu kepada penularan virus Wuhan, para pelabur juga akan meneliti hasil pendapatan yang akan diumumkan minggu ini oleh syarikat-syarikat besar seperti Apple, Facebook dan Samsung.

Sumber : CNA/TQ/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan