Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Harga flat HDB berusia lebih 30 tahun turun lebih perlahan berbanding rumah privet tidak berlaman

Nilai pasaran flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang berusia lebih 30 tahun, turun lebih perlahan berbanding hartanah privet tidak berhalaman. Demikian menurut kajian yang dijalankan Universiti Nasional Singapura (NUH).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Feb 2019 05:51PM Dikemas Kini : 14 Feb 2019 01:34AM

SINGAPURA: Nilai pasaran flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang berusia lebih 30 tahun, turun lebih perlahan berbanding hartanah privet tidak berhalaman. Demikian menurut kajian yang dijalankan Universiti Nasional Singapura (NUH).

Hasil kajian tersebut, yang diumumkan dalam satu kenyataan media pada Rabu (13 Feb), turut mendedahkan perbezaan pada penurunan nilai pasaran antara hartanah kediaman pegangan kekal, hartanah kediaman pegangan pajak dengan HDB hanya menjadi ketara selepas 10 tahun.

Kadar susut nilai berkaitan dengan usia bangunan, menurut NUS. Perubahan nilai hartanah juga bergantung kepada faktor lain termasuk pemegangan tanah dan saiz.

Dalam kajian tersebut, kadar susut nilai berkaitan usia (bangunan) dipadankan dengan harga hartanah jualan semula. Ini dilakukan menggunakan data yang diperolehi daripada Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan HDB.

Harga penjualan bagi kedua-dua jenis hartanah digunakan untuk meneliti kadar susut nilai rumah jualan semula sepanjang 20 tahun, dari 1997 hingga 2017, menurut kenyataan media tersebut.

(Gambar hiasan: Gaya Chandramohan)

Hartanah-hartanah itu dibahagikan dan dikategorikan kepada tiga jenis perumahan - flat-flat HDB, hartanah kediaman tidak berlaman dengan pegangan pajak 99 tahun dan hartanah kediaman tidak berlaman dengan pegangan kekal.

Langkah kawalan bagi faktor-faktor tidak berkaitan dengan usia juga diambil kira. Faktor-faktor ini termasuk saiz dan jenis rumah, jumlah unit perumahan dalam estet kejiranan dan jarak ke stesen MRT terdekat serta Kawasan Pusat Bandar.

Menurut kajian, harga bagi semua jenis rumah turun sedang usia bangunan meningkat. Kadar penyusutan bagi semua jenis serupa dalam tempoh 10 tahun, meskipun harga flat HDB merosot satu peratus lebih cepat daripada dua jenis hartanah lain.

Kajian mendapati, selepas tempoh 10 tahun, hartanah privet pegangan kekal umumnya menyaksikan kadar susut nilai lebih perlahan, berbanding hartanah privet pegangan pajakan dan flat-flat HDB. Nilai hartanah privet pegangan pajakan dan flat-flat HDB pula turun pada kadar serupa sehingga 20 tahun.

Apabila hartanah mencecah usia 21 tahun dan ke atas, kadar susut nilai bagi flat-flat HDB adalah sekitar 3 peratus, sementara hartanah privet turun lebih 10 peratus.

Ini sebahagian besarnya disebabkan kemerosotan harga hartanah perumahan privet pegangan pajakan, yang turun lebih 30 peratus sebaik sahaja mereka mencapai usia sama, menurut kajian itu lagi.

Harga turun pada kadar lebih perlahan bagi flat HDB berusia 30 tahun dan ke atas, berbanding hartanah privet.

"Ini mungkin kerana hartanah privet yang berusia lebih 30 tahun kurang disenggara dengan baik," kata Profesor Madya Sing Tien Foo, yang turut menjalankan kajian tersebut.

"Flat-flat HDB menikmati usaha-usaha peningkatan seperti Program Peningkatan Rumah Pemerintah Singapura yang membantu mengurangkan kesan usia bangunan secara berkesan berbanding hartanah privet.

"Masalahnya lebih serius bagi para pemilik hartanah privet pegangan pajak yang mana nilai hartanah sangat terjejas dengan keadaan bangunan."

Di samping skim-skim pembangunan semula yang memperlahankan penurunan harga flat-flat HDB lebih tua, subsidi sehingga S$50,000 untuk pembeli kali pertama bagi flat jualan semula juga membantu mengawal penurunan nilai pasaran flat HDB, kata Profesor Sumit Agarwal.

Kajian itu dijalankan sebuah pasukan NUS meliputi Prof Sing, Prof Agarwal, Profesor Sekolah Perniagaan NUS Low Tuck Kwong dan pelajar PhD, Zhang Xiaoyu.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan