Images
  • 5G malaysia
    Gambar: BERNAMA

Harga 5G M'sia dijangka jauh lebih rendah berbanding 4G sekarang

KUALA LUMPUR: Harga atau caj perkhidmatan 5G ke atas rakyat Malaysia pada masa hadapan dijangka jauh lebih rendah berbanding kos penggunaan 4G sekarang, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Memandangkan pentingnya keterhubungan dan ekonomi digital buat negara, kerajaan sudah mengambil tindakan tegas pada Februari 2021 dengan mengumumkan inisiatif MyDIGITAL dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, katanya.

“Antara tindakan utama yang diambil di bawah MyDIGITAL adalah penubuhan sebuah syarikat tujuan khas yang dinamakan Digital Nasional Bhd (DNB) untuk melaksanakan 5G dengan lebih pantas dan inklusif untuk seluruh Keluarga Malaysia, berasaskan model pemulihan kos,” katanya.

Tengku Zafrul menambah harga yang dicadangkan buat masa ini kepada syarikat telekomunikasi adalah kurang daripada 20 sen bagi setiap GB 5G, namun ia masih diperhalusi, dan sedang menunggu kelulusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Dari segi implikasi kewangan, syarikat telekomunikasi mungkin lebih mengutamakan pelaksanaan 5G yang tidak terbuka kepada semua pengendali rangkaian mudah alih untuk mengekalkan kedudukan keuntungan mereka, katanya.

“Sebaliknya model yang diguna pakai oleh DNB akan mendorong syarikat telekomunikasi bersaing dari segi harga, produk dan perkhidmatan, kerana mereka telah jimat dari segi modal penyediaan infrastruktur yang telahpun disediakan oleh DNB,” katanya.

Tengku Zafrul juga menyangkal keraguan mengenai kecekapan sektor swasta dalam melaksanakan dan menyediakan perkhidmatan membina rangkaian 5G.

“Jika kita mengimbau semula sejarah pembangunan negara, kita dapat melihat banyak syarikat yang dimiliki oleh kerajaan yang telah berjaya meletakkan Malaysia di persada dunia,” katanya.

Beliau berkata contohnya, syarikat seperti Petronas, Telekom Malaysia dan Tenaga Nasional Bhd yang sudah berjaya berkembang di dalam dan di luar negara. 

Beliau menekankan bahawa DNB juga berpeluang dan berpotensi untuk mengecapi kejayaan seperti syarikat milik kerajaan lain yang memiliki tahap keupayaan tinggi dan profesionalisme dalam melaksanakan setiap pelan dan strategi.

Menteri Kewangan turut berkata pelaksanaan rangkaian 5G dijangka menjana RM21 bilion (S$6.8 bilion) dalam aktiviti ekonomi secara langsung untuk tempoh 10 tahun akan datang.

- BERNAMA/SM/sm

Top