Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Hakim Kanada bebaskan eksekutif Huawei selepas capai perjanjian dengan pendakwa AS

Ketua Pegawai Kewangan Huawei, Meng Wanzhou dibebaskan pada Jumaat (24 Sep) selepas dikenakan tahanan dalam rumah di Kanada selama tiga tahun menyusuli perjanjian dicapai dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS).

Anggaran Waktu Membaca:
Hakim Kanada bebaskan eksekutif Huawei selepas capai perjanjian dengan pendakwa AS

Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Huawei, Meng Wanzhou. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 25 Sep 2021 10:02AM Dikemas Kini : 25 Sep 2021 10:05AM

VANCOUVER: Ketua Pegawai Kewangan Huawei, Meng Wanzhou dibebaskan pada Jumaat (24 Sep) selepas dikenakan tahanan dalam rumah di Kanada selama tiga tahun menyusuli perjanjian dicapai dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) untuk menangguhkan tuduhan penipuan ke atasnya yang telah menyebabkan ketegangan hubungan antara Beijing dengan Washington dan Ottawa.

Meng, 49 tahun, anak kepada pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Huawei, Ren Zhengfei, dibebaskan mahkamah Vancouver selepas pihak pendakwaan AS mengumumkan perjanjian di New York yang mana tuduhan ditangguhkan dan akhirnya akan digugurkan.

Hakim Kanada mengakhiri prosiding ekstradisi sekali gus menamatkan saga perundangan selama hampir tiga tahun.

Meng menghabiskan hampir tiga tahun di dalam tahanan rumah di Vancouver ketika mencabar perintah mengekstradisi ke AS untuk menghadapi tuduhan penipuan berkaitan penjualan peralatan oleh anak syarikat Huawei di Iran kerana melanggar sekatan.

Di luar bangunan Mahkamah Agung British Columbia Vancouver, Meng mengucapkan terima kasih kepada hakim, penyokongnya, pegawai China dan kerajaan Kanada kerana menegakkan kedaulatan undang-undang.

"Selama tiga tahun terakhir, hidup saya berubah sepenuhnya. Ia adalah masa yang amat mengganggu bagi saya sebagai ibu, isteri dan eksekutif syarikat.

"Saya percaya setiap kesusahan pasti akan berakhir. Ini benar-benar pengalaman yang tidak ternilai dalam hidup saya," katanya dalam bahasa Inggeris.

Meng kemudian terbang ke Shenzhen, kembali ke China buat pertama kalinya sejak ditahan di lapangan terbang antarabangsa Vancouver atas perintah pihak berkuasa AS pada 1 Disember 2018.

Pegawai Kanada kini berharap kebebasannya akan membuka jalan bagi China membebaskan dua warga Kanada, ahli perniagaan Michael Spavor dan bekas diplomat Michael Kovrig, yang ditangkap dan dipenjarakan atas tuduhan pengintipan selepas Meng ditahan, dalam apa yang dikritik pihak Barat sebagai "diplomasi tebusan" oleh China. 

Sumber : AFP/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan