Images
  • dpm heng guangzhou
    Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat bertemu dengan Setiausaha Parti Guangzhou Zhang Shuofu. (Gambar: MCI)

Guangzhou alu-alukan pelibatan S'pura dalam pembangunan Greater Bay Area

GUANGZHOU: Bandar Guangzhou di selatan China mengalu-alukan pelibatan Singapura dalam pembangunan Kawasan Teluk Lebih Besar (Greater Bay Area) Guangdong-Hong Kong-Macau yang disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai setara dengan Silicon Valley di Amerika Syarikat.

Inisiatif itu bertujuan untuk menyepadukan Hong Kong, Macau dan sembilan bandar dengan wilayah tanah besar Guangdong termasuk Guangzhou.

Ini didedahkan oleh Setiausaha Parti Guangzhou Zhang Shuofu, yang bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri Singapura Heng Swee Keat semasa satu jamuan tengah hari pada Isnin (28 Mei).

Awal dari itu, kedua-dua pemimpin mengunjungi Bandar Pengetahuan Guangzhou China-Singapura. Mereka mengesahkan peningkatan taraf projek itu kepada satu projek kerjasama dua hala antara kedua-dua negara pada November tahun lalu.

Ia merupakan projek diterajui sektor swasta yang pertama untuk mendapat peningkatan status sedemikian.

Terletak kurang sejam perjalanan dari pusat bandar Guangzhou, projek seluas 123 kilometer persegi itu dimulakan pada Jul 2010.

Bandar pengetahuan itu juga direka bentuk dengan tujuan menarik industri-industri teknologi tinggi dan bakat kreatif.

Lewat semalam, Encik Heng melawat bandar jiran Shenzhen dan memenui Setiausaha Parti Wang Weizhong.

Encik Wang mengetengahkan bahawa kemajuan Shenzhen merupakan suatu perkara yang mengagumkan. Bandar itu menjalani perubahan dari sebuah bandar kecil pertanian dan perkampungan nelayan hingga menjadi bandar antarabangsa berciri inovasi dalam tempoh 40 tahun sahaja.

"Penduduk di sini datang dari merata China dan dunia dan Shenzhen berada pada kedudukannya hari ini oleh sebab inovasi, pembangunan dan pelaburan dari rakan-rakan merata dunia, termasuk Singapura," kata Encik Wang.

Pada sebelah malam, Encik Heng melakukan perjalanan ke tempat ikonik Lotus Hill di Shenzhen dan meletakkan bunga pada arca mantan pemimpin China, mendiang Deng Xiaoping.

Encik Deng disanjung sebagai arkitek kempen perubahan dan keterbukaan China lebih 40 tahun lalu dan Shenzhen merupakan bandar bermulanya semua perubahan itu. Ia adalah bandar pertama untuk menyokong mekanisme pasaran dan disepadukan dengan ekonomi sejagat.

Awal dari itu, Encik Heng mengunjungi ibu pejabat syarikat gergasi media sosial dan permainan komputer Tencent yang berpangkalan di Shenzhen.

Beliau diberi taklimat dan berpeluang meninjau teknologi dan pembangunan terkini syarikat itu.

Syarikat Internet itu mengendalikan aplikasi mudah alih pesanan serbaguna WeChat yang mempunyai lebih satu bilion pengguna.

- CNA/ZM/zm

Top