Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

GTR AirAsia perkenal pusat kawalan digital pertama di M'sia

Syarikat perkhidmatan pengendalian darat AirAsia, Ground Team Red Sdn Bhd (GTR) melancarkan pusat kawalan digital Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Anggaran Waktu Membaca:
GTR AirAsia perkenal pusat kawalan digital pertama di M'sia

Syarikat perkhidmatan pengendalian darat AirAsia, Ground Team Red Sdn Bhd, melancarkan pusat kawalan digital Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang pertama di Malaysia. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 13 Nov 2018 10:07AM Dikemas Kini : 13 Nov 2018 10:12AM

SEPANG: Syarikat perkhidmatan pengendalian darat AirAsia, Ground Team Red Sdn Bhd (GTR), melancarkan pusat kawalan digital Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Pusat kawalan digital sepenuhnya itu akan membolehkan GTR untuk menjejaki pengendalian pesawat dengan memproses maklumat digital pada masa nyata mengenai kemasukan penumpang, penyelarasan bagasi dan kegiatan tanjakan melalui satu panel kawalan digital, dengan sasaran kendalian bagi setiap pesawat selama 25 minit sahaja.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia Tony Fernandes berkata dengan mendigitalkan operasi, proses kemasukan pintu akan dilaksanakan melalui telefon bijak oleh kakitangan perkhidmatan pelanggan. Pada masa yang sama, ia juga dapat mengawasi proses tersebut pada masa nyata dengan cekap dan tepat.

Telefon bijak yang sama juga akan digunakan pada karusel bagasi bagi penyelarasan beg, manakala sistem muatan tanjakan 'e-readback' akan menyediakan maklumat kargo dan bagasi yang lebih tersusun bagi sesuatu penerbangan.

"Ini akan meningkatkan tahap keselamatan dengan jaminan ketepatan 100 peratus mengenai bacaan beban serta imbangan pesawat untuk tujuan perancangan penerbangan serta menghapuskan arahan muatan berasaskan kertas yang sukar dibaca pada waktu malam dan dalam keadaan cuaca buruk," kata Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook, semasa majlis pelancaran itu semalam (12 Nov).

Ketua Pegawai Eksekutif GTR Kevin Chin, yang menyampaikan taklimat operasi kepada Encik Loke, berkata syarikat itu sudah memperuntukkan sejumlah RM35 juta (S$11.5 juta) untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan yang merangkumi aspek kesejahteraan pelanggan, kargo dan operasi tanjakan.

"Pusat kawalan ini merupakan sebahagian daripada pelaburan untuk menaik taraf operasi perkhidmatan darat kami," katanya.

GTR ditubuhkan pada 2017 sebagai sebuah usaha sama antara AirAsia Bhd dengan S.A.T.S Ltd dari Singapura bagi menyediakan pelbagai perkhidmatan pengendalian darat.

Bercakap kepada para wartawan selepas majlis pelancaran itu, Encik Loke berkata inovasi yang dihasilkan GTR akan menyumbang kepada aliran kerja yang berkesan, yang akan memberi manfaat kepada para penumpang dengan menyediakan satu pengalaman perjalanan yang lancar.

"Saya sentiasa menekankan keperluan bagi memperbaiki lagi kecekapan operasi dan tahap perkhidmatan lapangan terbang," katanya. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan