Images
  • grabfood
    (Gambar: Grab)

GrabFood rancang perkenalkan dapur pusat di S'pura tahun ini

SINGAPURA: Syarikat khidmat penghantaran makanan GrabFood sedang meneroka peluang untuk memperkenalkan dapur pusat di tempat-tempat yang menyaksikan permintaan tinggi "pada tahun ini".

Ketua GrabFood Singapura Lim Kell Jay memberitahu para wartawan demikian semasa satu taklimat media pada Selasa (16 Apr).

"Bagi kawasan yang kurang diberi khidmat penghantaran makanan, saya rasa di sinilah kami boleh menubuhkan sebuah dapur Grab dan kemudian mengundang para peniaga yang relevan ke tempat tersebut untuk menyediakan khidmat penghantaran," katanya.

Grab bagaimanapun tidak memberikan butiran mengenai jumlah dapur dan di mana ia mungkin ditubuhkan, setakat hanya menyatakan bahawa ia masih "melakukan kajian dan penilaian."

September lalu, Grab memperkenalkan khidmat 'Kitchen by GrabFood' di Indonesia. Di bawah khidmat tersebut, para pelanggan di kawasan yang tidak mempunyai banyak cawangan makanan boleh memesan supaya makanan mereka dihantar dalam masa lebih singkat dan kos penghantaran lebih rendah.

Ia mempunyai tiga dapur pusat di Indonesia - Cideng dan Keramat di Jakarta Pusat serta Kedoya di Jakarta Barat.

Bagaimanapun, pesaing-pesaing Grab di Singapura sudahpun mengamalkan strategi tersebut. Foodpanda mempunyai dapur pusat di Woodlands dan Mandai manakala Deliveroo pula menyediakannya di Katong serta Lavender.

Sungguhpun demikian, Grab merancang untuk mengatasi persaingan dengan mendapatkan "kebanyakan jika bukan kesemua" 10,000 kedai dan cawangan makanan, yang berdaftar di bawah Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), bagi aplikasi GrabFoodnya. Aplikasi itu kini mempunyai lebih 5,000 peniaga.

Mnurut Encik Lim, GrabFood akan terus menambah pilihan makanan 'tempatan yang digemari', seperti daripada para penjaja terkenal, ke dalam senarai tawarannya. Ia sudahpun menyenaraikan durian serta kudapan keropok telur asin IRVINS.

Lebih dari itu, Encik Lim berkata perbezaan paling ketara antara GrabFood dengan para pesaingnya adalah ekosistem Grab yang menyeluruh.

"Dengan satu app, anda boleh menempah kereta sewa, menghantar bungkusan, membuat pembayaran," katanya.

"Ia mewujudkan lebih banyak permintaan dan menerusi analisis kami, kami melihat pelanggan yang menggunakan lebih banyak khidmat di platform kami mempunyai nilai kebergantungan yang tinggi dengan kami."

- CNA/FZ/fz

Top